PRK Tg Piai: Calon Bebas, Faridah mula kempen hari ketujuh

PRK Tg Piai: Calon Bebas, Faridah mula kempen hari ketujuh

Calon Bebas Faridah Aryani berkata kelewatannya memulakan kempen adalah berikutan kekangan dana serta jentera kempen yang kecil.

Calon Bebas bagi PRK Tanjung Piai Faridah Aryani Abd Ghaffar berkata, antara tujuan beliau bertanding adalah untuk memperjuangkan nasib kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pemandu teksi.
PONTIAN:
Selepas enam hari tidak kelihatan sejak hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 2 Nov lepas, calon Bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar hari ini muncul untuk mula berkempen.

Faridah Aryani, 45, menjelaskan kelewatannya memulakan kempen yang hanya bermula hari ketujuh kempen hari ini adalah berikutan kekangan dana serta jentera kempen yang kecil.

Bagaimanapun beliau menjadikan kekurangan itu sebagai strategi untuk lebih fokus pada lapan hari terakhir tempoh berkempen sebelum hari mengundi 16 Nov ini.

“Kita lewat berkempen kerana kurang dari segi kewangan, tiada dana besar. Baki hari-hari terakhir ini, dengan jentera seramai 18 orang, kita akan berkempen di semua 27 daerah mengundi di sini,” katanya dalam sidang media di Serkat, hari ini.

Hadir sama, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Shamsubahrin Ismail.

Faridah merupakan calon pengganti saat akhir menggantikan Shamsubahrin yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung sehari sebelum penamaan calon.

Faridah berkata, antara tujuan beliau bertanding pada PRK itu adalah untuk memperjuangkan nasib kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pemandu teksi di Tanjung Piai.

“Kita cuba kupas, yakinkan yang tujuan kita untuk penambahbaikan ekonomi dan pendapatan mereka (B40). Kita cuba cari jalan tambah baik kualili hidup mereka,” katanya.

Kata ibu tunggal kepada empat anak itu, beliau tidak meletakkan sasaran jumlah undi yang bakal diperoleh, namun berharap tidak hilang wang deposit.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Faridah akan berdepan saingan enam penjuru membabitkan calon PH yang mempertaruhkan ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut, selain calon Barisan Nasional, Gerakan, Berjasa dan seorang lagi calon Bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.