Lebih 600,000 pekerjaan, adakah kita sedang khayal?

Lebih 600,000 pekerjaan, adakah kita sedang khayal?

Wujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang wajar. Ini adalah cabaran utama Pakatan Harapan. Saya harap mereka berjaya melakukannya.

Saya terganggu dengan tangkap layar kenyataan Menteri Sumber Manusia kita, M Kulasegaran yang mengatakan ada lebih 600,000 peluang pekerjaan tersedia, tetapi anak muda masih enggan bekerja. Untuk lebih kepastian, saya pergi menonton rakaman sidang Parlimen – dan ternyata Kulasegaran mengatakan kita memiliki 640,000 peluang pekerjaan.

Saya memberi analogi barangkali dia sedang ‘high’, yang membawa maksud beliau sedang khayal kerana tidak melihat situasi sebenar yang berlaku di Malaysia. Apa yang saya lihat, ramai syarikat yang mahu megurangkan pekerja. Kemudian timbul pula seorang ‘profesor’ yang mengatakan peluang pekerjaan itu tidak dapat sambutan orang muda.

Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin kata kurang sambutan terutama dalam kalangan golongan muda, terhadap lambakan peluang pekerjaaan yang ditawarkan.

Kalau peluang pekerjaan ini benar-benar wujud, mengapa kadar pengangguran meningkat?

Sebenarnya kadar pengangguran kita pada April tahun ini kekal pada 3.4% bagi dua bulan berturut-turut, menurut Laporan Statistik Utama Tenaga Buruh.

Menurut laporan itu, bilangan penganggur naik 0.4% berbanding bulan sebelumnya kepada 523,300 orang. Secara matematik, jika benar dikatakan peluang pekerjaan yang tersedia sudah menjangkau 640,000, saya tidak fikir kita akan memiliki lebih 500 ribu penganggur.

Pekerjaan adalah ‘maruah’ dalam sistem masyarakat kita, seseorang yang bekerja akan merasakan diri mereka lebih bermaruah. Ia bukan saja berkenaan persoalan maruah, tapi melibatkan kemampuan untuk menyara diri dan keluarga. Saya tidak fikir anak muda atau anak tua ‘saja-saja’ tidak mahu bekerja kerana mereka tidak berminat atau malas.

Laporan kenyataan timbalan ketua pengarah pengajian tinggi mengingatkan saya kepada kenyataan naib canselor UPSI pada 2017 semasa menjadi panel forum di RTM. Dia menyatakan peluang pekerjaan sebenarnya wujud kerana ada beberapa pekerjaan seperti Grab dan seumpamanya. Hujah ini dicantas oleh panel yang lain dengan mengatakan pelajar pergi universiti dengan berhutang beribu-ribu, semata-mata untuk bawak Grab?

Fenomena pandangan seperti ini membuktikan idea anak muda menganggur hanya semata-mata kerana malas wujud dalam hierarki tertinggi pendidikan tinggi kita. Barangkali atas sebab ini sistem pendidikan tidak menghasilkan perbincangan yang cukup tuntas tentang masalah masyarakat dan negara. Kalau ahli akademik yang memerlukan kita ‘mendongak’ untuk melihatnya pun dungu dan kerap mengambil jalan simplistik – bagaimana mungkin mereka boleh melahirkan pelajar yang memiliki pemikiran kritis dan matang? Umpama seorang doktor yang mahu mengubati pesakit, tapi dia sebenarnya sedang tenat.

Berulang-ulang kali dikatakan oleh ramai orang; ia bukanlah semata-mata anak muda malas, selalunya soal penolakan pekerjaan daripada anak muda kerana kadar gaji yang terlalu rendah. Seseorang yang telah masuk ke universiti dengan berbelanja besar (melalui hutang, biasiswa, wang keluarga) wajar diberi bayaran yang setimpal.

Terlalu pentingkan diri jika hanya bercerita masalah graduan yang menggunung, soal gaji turut kronik pada sektor tidak mahir, terutamanya dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar). Mereka berhempas pulas melakukan pekerjaan yang melibatkan risiko yang tinggi, namun masih ada di antara mereka yang dibayar dengan sangat rendah.

Persoalan gaji ini seiring dengan kos sara hidup yang meningkat. Banyak bukti empirikal yang telah dinyatakan oleh badan kajian (Kajian Kos Sara Hidup KWSP misalnya) berhubung gaji wajar untuk anak muda. Jika kita semak kadar gaji yang sepatutnya diterima melalui kajian-kajian ini, kita dapati gaji di Malaysia amat rendah. Rakyat Malaysia tidak malas, mereka cuma memerlukan gaji yang wajar untuk mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Saya cukup yakin apa yang dimaksudkan oleh menteri sumber manusia tidak memasukkan pekerjaan dalam kategori ‘gig-economy’ sebagai 640,000 pekerjaan itu. Semua orang harus sedar bahawa pekerjaan di bawah ‘gig-economy’ seperti e-hailing dan penghantaran makanan hanyalah ‘ubat pelega’ bukanlah solusi kepada masalah pengangguran di Malaysia. Kes FoodPanda membuktikan betapa rapuhnya sistem yang ada pada sektor ‘gig-economy’, ia bila-bila masa boleh menjadi bencana kepada pekerja.

Wujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang wajar. Ini adalah cabaran utama Pakatan Harapan. Saya harap mereka berjaya melakukannya. Barangkali mereka boleh mulakan dengan menyenaraikan pekerjaan sebanyak 640,000 itu dalam apa-apa platform yang boleh diakses orang awam.

Rahman Imuda adalah bekas aktivis mahasiswa

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.