AmInvestment Bank kekal saranan ‘beli’ saham SReit

AmInvestment Bank kekal saranan ‘beli’ saham SReit

SReit memiliki nama jenama serta kedudukan kukuh dalam pasaran, khususnya segmen pusat beli-belah yang mencatat kadar penghunian melebihi 90% sejak tiga tahun lepas.

KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Bhd hari ini mengekalkan saranan “beli” terhadap Sunway Real Estate Investment Trust (SReit) dengan nilai tidak berubah pada RM2.16 berdasarkan sasaran pulangan 5%.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, ia menyifatkan SReit memiliki nama jenama serta kedudukan kukuh dalam pasaran, khususnya segmen pusat beli-belah yang mencatat kadar penghunian melebihi 90% sejak tiga tahun lepas.

“Kami menjangkakan prospek hartanah runcit, khususnya pusat beli-belah akan kekal stabil bagi jangka pendek dan pertengahan,” katanya.

Agihan pendapatan SReit bagi suku pertama tahun kewangan 2020 (1QFY2020) adalah RM73.7 juta (iaitu peningkatan sebanyak 1% tahun ke tahun) dan menyamai unjuran 24% bagi tahun penuhnya.

Pendapatan hartanah bersihnya (NPI) berkembang 7.7% tahun ke tahun kepada RM119.1 juta juga sejajar pertumbuhan perolehannya.

Malah, hasilnya bagi 1QFY2020 itu meningkat sebanyak 8.1% tahun ke tahun kepada RM155.4 juta, sebahagian besarnya disumbangkan kampus Sunway University & College yang baru diambil alih serta prestasi baik dicatatkan semua segmen, khususnya perhotelan.

Setakat 10.25 pagi tadi, saham SReit naik enam sen kepada RM1.89 dengan 481,700 saham saling bertukar tangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.