Mahkamah halang pengarah PetroSaudi jual saham berkait 1MDB

Mahkamah halang pengarah PetroSaudi jual saham berkait 1MDB

Timbalan pendakwa raya berkata 2.5 juta saham Palantir Technologies atas nama Tarek Obaid itu berkait siasatan 1MDB.

tarek obaid
Pengarah PetroSaudi International Ltd, Tarek Obaid dihalang daripada membuat sebarang urusan memindah, menjual atau melupuskan saham tersebut. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid dihalang daripada menjual 2.5 juta sahamnya dalam syarikat Palantir Technologies, yang didakwa berkaitan 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid mengeluarkan perintah itu, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Berdasarkan notis usul ex-parte (sebelah pihak), pendakwa raya memohon perintah larangan di bawah seksyen itu dikeluarkan kepada Tarek Obaid dan Palantir Technologies, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menurut notis tersebut semua aset, hak milikan serta kepentingan undang-undang berkaitan 2.5 juta saham dalam Palantir Technologies yang didaftarkan atas nama Tarek Obaid, adalah berkaitan siasatan kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4 (1) (a) Akta 613 membabitkan 1MDB.

Pendakwa raya memohon agar Obaid dan Palantir Technologies dihalang daripada membuat sebarang urusan memindah, menjual atau melupuskan saham tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.