Permohonan lucut hak RM32,000 milik Umno Kelantan didengar 3 Dis

Permohonan lucut hak RM32,000 milik Umno Kelantan didengar 3 Dis

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu kerana timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu terbabit dalam pertukaran.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 3 Dis untuk mendengar permohonan pendakwaan melucutkan hak ke atas wang berjumlah RM32,962.87 yang disita daripada Umno Kelantan.

Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun lalu itu didakwa ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memohon tarikh baru untuk pendengaran.

“Ini kerana timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes ini terlibat dengan arahan pertukaran,” katanya semasa pengurusan kes itu yang turut dihadiri peguam, Nurul Hazreen Ahmad Kamal mewakili Umno Kelantan.

Dalam kes pelucuthakan melibatkan harta Umno Selangor, Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Dis ini untuk pengurusan kes.

Haslinie memberitahu media perkara itu selepas kes berkenaan disebut di depan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad yang turut dihadiri peguam, R Hanita mewakili Umno Selangor.

Pendakwaan selaku pemohon memfailkan permohonan bagi melucutkan hak ke atas wang disita daripada kedua-dua entiti itu yang dinamakan responden.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya sebelum ini berkata, permohonan pelucuthakan difailkan terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) kerana percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri, Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.