
Ia bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan Zakri kepada penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara, dan peningkatan kualiti kehidupan sejagat.
AAN merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada cendekiawan yang mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang.
Zakri pernah menganggotai lembaga penasihat sains setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dilantik pengerusi bersama lembaga penasihat sains, teknologi dan inovasi (STI) PBB dan pengerusi bersama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik, dan pernah berkhidmat sebagai penasihat sains perdana menteri.
Zakri, yang pernah mengesyorkan pendidikan perubahan iklim, mahu perubahan iklim difahami dalam kalangan anak muda dan kesedaran mengenainya perlu ditanam dari awal.
Mahathir dalam ucapanya berharap pengiktirafan itu akan mengalakkan kesarjanaan dalam kalangan ahli akademik tempatan dan menjadi perangsang kepada mereka untuk memartabatkan pendidikan tinggi negara.
“Kerajaan meletakkan bidang pendidikan sebagai teras utama dalam pembinaan Malaysia baru yang inklusif, sederhana dan gemilang di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata ia sejajar dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang mahu melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan.
Turut mendapat pengiktirafan di majlis berprestij semalam adalah Oon Chern Ein dari Universiti Sains Malaysia, yang diangkat sebagai Tokoh Akademik Harapan.
Lai Oi Ming, Ang Mei Foong dan Kamariah Kamarudin dari Universiti Putra Malaysia, Shahreza Md Sheriff dari Universiti Malaysia Terengganu, Jalaini Abu Hassan dari Universiti Teknologi Mara, Abdul Khalil HP Shawkataly dan Sherina Mohd Sidik juga diberi anugerah bagi kategori masing-masing.