
KPM dalam satu kenyataan berkata, kementerian tidak akan berkompromi dengan perlakuan tidak bermoral itu dan telah melancarkan siasatan dalaman.
“Tindakan segera telah diambil dengan memastikan pegawai-pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah kementerian sehingga siasatan selesai.
“Semua ketua jabatan diingatkan supaya meningkatkan pemantauan dan memastikan aktiviti tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat,” kata kenyataan itu.
Walaupun tidak mengulas lanjut ‘aktiviti songsang’ tersebut, ia dipercayai merujuk laporan 208 individu, termasuk 17 penjawat awam, remaja dan warga emas, ditahan di spa di Chow Kit, yang menurut polis dijadi lokasi untuk kegiatan tidak bermoral.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azani Omar berkata premis itu dipercayai beroperasi sejak lapan hingga 10 bulan lalu, dan dipercayai menjadi tempat pertemuan lelaki untuk terlibat dalam hubungan sesama jenis.
Daripada mereka yang ditahan, 171 dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman oleh polis.
Secara berasingan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan masih menyiasat kes itu di bawah Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana liwat, dan Seksyen 47 akta sama kerana cubaan melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta tersebut.