
Presiden Warisan Shafie Apdal berkata Sabah sememangnya mempunyai hak untuk menubuhkan kementerian kesihatan dan mengendalikan kementerian pelajaran dan inovasi sendiri, menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Semasa pemerintahan Warisan, kementerian kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah diwujudkan dan berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan persekutuan yang membolehkan rakyat Sabah mendapat vaksin dan pelitup muka dengan cepat semasa pandemik Covid-19.
“Dengan adanya kementerian kesihatan sendiri, Warisan boleh wujud hospital dan klinik baru, melahirkan lebih ramai doktor pakar, jururawat serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan ini,” katanya semasa membentangkan manifesto parti itu.
Shafie berkata dengan mewujudkan kementerian kesihatan sendiri, kerajaan negeri boleh menubuhkan kilang untuk menghasilkan ubat generik bagi memastikan ubat lebih murah dan mampu milik kepada rakyat.
“Warisan tekad menghidupkan semula kementerian kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Shafie juga berkata kementerian pelajaran dan inovasi wajar diwujudkan semula kerana Sabah boleh menetapkan silibus pembelajaran yang dirangka khas sesuai dengan keperluan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri juga mampu menanggung kos pembinaan sekolah, memupuk pemangkin pembangunan masyarakat bertamadun (guru), pengagihan biasiswa dan berkaitan pendidikan serta pelajaran.
“Jika diberi mandat untuk menjadi kerajaan negeri sekali lagi, usaha untuk mewujudkan sekolah teknikal dan mengiktiraf ijazah mereka juga akan dilakukan.
“Sabah yang mempunyai sistem pendidikannya sendiri dapat menyiasat secara menyeluruh kes-kes buli di sekolah untuk mengambil langkah lebih berkesan dalam mengekang kejadian buli,” katanya.
Sementara itu, Shafie berkata Warisan mahu membina dua buah empangan hidro di sungai utama di Kinabatangan dan Segama, Lahad Datu.
Katanya, empangan-empangan itu akan memenuhi keperluan bekalan air dan tenaga elektrik di kawasan pantai timur dan barat, tanpa menjejaskan ekosistem.
“Projek ini bukan sahaja menyelesaikan keperluan masa kini, tetapi juga menjamin bekalan air dan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menyokong proses perindustrian Sabah dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
“Empangan-empangan ini akan menyediakan bekalan yang mencukupi untuk kegunaan harian rakyat Sabah, di samping menjana pendapatan bernilai berbilion ringgit setiap tahun, sekali gus mengangkat Sabah sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi,” katanya.
Menurutnya, pembinaan empangan itu juga akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, sekaligus merangsang pembangunan ekonomi setempat.