Kerajaan kaji wujud RUU Suruhanjaya Keharmonian

Kerajaan kaji wujud RUU Suruhanjaya Keharmonian

Ia bagi menangani isu sentimen perkauman, kata Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mempertimbang mewujudkan Rang Undang-Undang berkaitan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional bagi menangani isu sentimen perkauman, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa berkata pada masa ini beberapa pindaan terhadap draf yang disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) itu sedang diusahakan dengan mengambil kira kewujudan lain-lain model suruhanjaya serta skop bidang kuasa daripada beberapa negara luar.

Beliau berkata selain itu satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan bagi meneliti penubuhan suruhanjaya bebas itu, sama ada cadangan tersebut bertindih dengan peruntukan undang-undang sedia ada sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan untuk penubuhannya.

“Saya yakin pihak pembangkang juga akan dikonsultasikan dalam perkara ini,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2020 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang kuota agama, kaum, etnik atau negeri tertentu dalam pelantikan anggota ke perkhidmatan awam, sebaliknya dilaksanakan berasaskan merit dan kompentesi seseorang calon itu.

Hanipa berkata semua warga mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan memasuki perkhidmatan awam dalam persaingan yang terbuka dan adil.

Beliau berkata statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dari 2014 hingga 2018 mendapati kaum Melayu paling ramai berminat dan mendaftar dengan SPA untuk bekerja dalam perkhidmatan awam iaitu sebanyak 79.45 peratus diikuti Bumiputera Sabah (7.7 peratus), Bumiputera Sarawak (5.5 peratus), India (3.3) peratus dan kaum Cina (1.7) dan Orang Asli (0.24 peratus).

SPA juga berpandangan kaedah pengambilan berdasarkan merit yang diamalkan pada masa ini memang mampu memberi peluang yang adil kepada semua calon tanpa mengira agama, etnik, kaum atau negeri tertentu di samping dapat memastikan calon berkualiti sahaja dilantik, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.