
Rafizi pada 5 Feb menggesa orang ramai tidak mempercayai dakwaan mengenai lambakan pekerja dalam perkhidmatan. Beliau turut berkata tiada masalah dengan menambah bilangan pekerja awam yang kini seramai 1.6 juta orang.
Hanipa Maidin yang menjadi timbalan menteri undang-undang dari 2018 hingga 2020 berkata, kenyataan berkenaan tidak seiring perancangan Putrajaya untuk mengambil kakitangan awam atas dasar kontrak dan memansuhkan pencen untuk kumpulan berkenaan.
Katanya, perancangan memansuhkan pencen untuk pekerja awam baharu membayangkan kerajaan mahu mengecilkan sektor berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Sepang itu berkata, pencen ditawarkan dalam perkhidmatan awam adalah tarikan utama bagi mereka yang mahu bekerja dalam kerajaan, kerana memberikan keselamatan kewangan selepas persaraan.
Apabila Rafizi menolak dakwaan mengenai lambakan pekerja dalam perkhidmatan awam, beliau memahami isu itu sensitif. Perkhidmatan awam lazimnya dilihat sebagai boleh diharapkan ketika mengundi.
“Namun dengan dasar baharu ini, kakitangan awam yang dilantik di masa depan tidak layak menerima pencen, saya lihat kenyataan Rafizi itu bercanggah,” katanya kepada FMT.
Johan Ariffin Samad, bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah berkata, kerajaan tidak memerlukan tenaga kerja awam yang besar memandangkan ia kini bergerak ke arah pendigitalan perkhidmatannya.
Putrajaya juga tidak mampu meluaskan saiz perkhidmatan awam, katanya.
“Bagaimana mereka mampu (meluaskan saiz perkhidmatan awam) apabila bercakap mengenai pemansuhan pencen (bagi mereka yang dilantik pada masa depan)?”
Tahun lalu, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Putrajaya membelanjakan kira-kira RM30 bilion untuk membayar pesara pada 2022, meliputi hampir 10% perbelanjaan tahunan kerajaan.
Mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula berkata bayaran pencen dijangka mencapai sekitar RM46.6 bilion pada 2030.