
Hanipa Maidin berkata langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berhabis-habisan memerangi jenayah itu sememangnya mendapat pujian, tetapi dalam masa sama berdepan satu dilema.
Menerusi Facebook, bekas pemimpin Amanah itu menegaskan kerajaan perpaduan perlu berupaya meyakinkan ‘pengundi bijak’ bagaimana mengekalkan seorang timbalan perdana menteri (TPM) yang mempunyai 47 kes pendakwaan ‘sebagai’ demi kepentingan negara.
Hanipa ketika dihubungi FMT mengesahkan TPM dimaksudnya adalah Zahid Hamidi yang mengetuai Umno dan menjadi sebahagian kerajaan perpaduan.
Beliau berpendapat siasatan terhadap beberapa personaliti seperti bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mungkin dilihat sebagai usaha memerangi rasuah tetapi persoalan timbul mengapa hanya membabitkan golongan sudah bersara.
“Alasan memerangi rasuah tidak ada masalah, sesiapa pun buat rasuah kita tak setuju tetapi bila kerajaan buat macam ini…kena yakinkan rakyat macam mana pula dengan kes Zahid,” katanya yang tidak mempertahankan Parlimen Sepang pada PRU15.
Pada 4 Sept tahun lalu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi diasaskannya.
Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.
Bulan lalu, Badan Peguam memfailkan permohonannya dalam usaha membatalkan keputusan peguam negara meneruskan pelepasan itu. Zahid telah mengemukakan bantahannya.
Mengulas lanjut, Hanipa berkata kerajaan perlu memberi penerangan berhubung persoalan mengapa Zahid dikekalkan yang juga mungkin menjurus sama ada ia berkaitan kepentingan Anwar.
“Kerajaan kena bersedia bagi jawapan meyakinkan rakyat,” katanya.