BN tidak akan guna pintu belakang bentuk kerajaan, tegas Zahid

BN tidak akan guna pintu belakang bentuk kerajaan, tegas Zahid

Ahmad Zahid Hamid berkata BN melihat kekuatan mereka melalui "cara depan" dan ada wakil rakyat yang mahu menyertai pihaknya.

Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan menggunakan “jalan depan” untuk kembali berkuasa.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menafikan gabungan itu berhasrat menggunakan taktik “pintu belakang” untuk mendapatkan semula kuasa sebelum pilihan raya umum ke-15.

“Kami tidak pernah menggunakan taktik pintu belakang atau apa sahaja cara. Kami melalui jalan depan.

“Kami melihat kekuatan kami melalui cara depan,” kata beliau, di tengah-tengah spekulasi mendakwa ada usaha membentuk kerajaan melalui pintu belakang, pada satu perhimpunan di kawasan Parlimen Tanjung Piai semalam menjelang pengumuman calon BN untuk pilihan raya kecil bulan depan.

Kelmarin, Zahid berkata Umno boleh mendapatkan semula kekuatan dengan menjadi “pasukan ketiga” dalam politik.

“Terdapat 40 (ahli Parlimen) dari Umno dan BN jika kita bersatu padu. Kemudian ada 18 dari PAS. Insya-Allah, 18 dari Sarawak, sembilan dari Sabah dan lima lagi akan menyertai kami.
“Mereka akan menyertai kita. Kita tidak perlu mencari mereka,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

Bulan lalu, PAS dan Umno menandatangi Piagam Muafakat Nasional. Baru-baru ini bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, juga ahli Parlimen Sembrong, menjadi sasaran sedang melobi untuk mewujudkan kerajaan melalui pintu belakang, dan ia telah dinafikan oleh beliau.

Bagaimanapun, pemimpin kanan DAP, P Ramasamy menyindir dakwaan Zahid itu, sambil berkata, pembangkang masih tidak bersatu dalam banyak perkara.

Pada perhimpunan di Pontian semalam, Zahid menambah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus mempertahankan “jenayah” yang dilakukan oleh wakil rakyat mereka.

Dalam ucapannya beliau menyebut tuduhan rogol terhadap seorang wakil kerajaan PH. Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong dari DAP dikenakan tuduhan merogol, melibatkan seorang pekerja domestik Indonesia, baru-baru ini.

Satu lagi rujukan beliau membabitkan “seorang individu yang telah dibicara di Malaysia” berhubung pembelian sebuah banglo dan pembinaan sebuah terowong, kemungkinan merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang didakwa dalam isu pembelian banglo ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang. Kes itu telah digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Zahid juga memberi ucapan yang menyokong MCA, parti komponen mahukan calonnya diletakkan mewakili BN dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Saya menghormati presiden MCA (Wee Ka Siong) yang terus membangkitkan isu pembelian banglo dan pembinaan terowong,” katanya.

Beliau menambah, penting bagi Umno dan MCA untuk bekerjasama semasa kempen BN Tanjung Piai, “untuk memulihkan maruah BN”.

“Kami mahu menghantar mesej kepada kerajaan bahawa rakyat di Tanjung Piai tidak boleh dibohongi lagi.”

Zahid menyangkal pengumuman kerajaan mengenai peruntukan RM7 juta untuk kawasan itu sebagai “kebetulan yang dirancang”.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan peruntukan untuk beberapa projek di kawasan itu, mengatakan ia adalah satu “kebetulan”.

Zahid berkata: “Mereka berkata, ‘ini bukan untuk membeli undi, tetapi ini adalah peruntukan yang telah disediakan (lebih awal). Ini semua adalah kebetulan.”
“Ia satu kebetulan yang dirancang,” kata Zahid lagi.

“Tanjung Piai, jangan tertipu lagi.”

“Kali ini, jika mereka memberikan beras, ambil beras itu. Sekiranya mereka memberi anda gula, ambil gula itu. Jika mereka memberi anda kain, ambil kain. Jika mereka memberi anda wang, ambil wang itu. Tetapi untuk mengundi mereka, tidak. Kita tidak akan memberikan mereka itu (undi) lagi,” kata Zahid, disambut dengan sorakan kuat daripada orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.