Janji royalti minyak Zahid ‘terlalu manis untuk ditunai’, kata penganalisis

Janji royalti minyak Zahid ‘terlalu manis untuk ditunai’, kata penganalisis

Zahid Hamidi sebelum ini berkata, gabungan PAS-Umno akan memberi royalti penuh kepada semua negeri pengeluar minyak, bukan sahaja Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Pembayaran royalti penuh kepada negeri pengeluar minyak memberi kesan ke atas pendapatan Petronas dan menggugat pelaburan masa depan syarikat itu.
PETALING JAYA:
Janji Barisan Nasional (BN) untuk memberi royalti penuh kepada negeri pengeluar minyak adalah “terlalu manis untuk ditunaikan”, kata dua penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, penduduk Sabah dan Sarawak khususnya “sudah masak” berhubung janji sedemikian setelah diperintah oleh BN selama lebih 55 tahun.

Awang Azman Pawi.

“Janji royalti penuh dan peruntukan langsung kepada negeri adalah terlalu manis untuk ditunaikan,” katanya.

“Sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menunaikan janji mereka, apatah lagi BN yang selama ini gagal memenuhi kehendak Perjanjian Malaysia 1963.”

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membuat janji itu dalam satu siaran langsung video atas talian.

Beliau berkata, gabungan PAS-Umno akan memberi royalti penuh kepada semua negeri pengeluar minyak, bukan sahaja kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menerima peruntukan langsung, bukannya peruntukan projek.

Azman memberitahu FMT bahawa BN sebelum ini memaksa Sabah dan Sarawak menerima tawaran yang tidak menguntungkan mereka dengan menjadikan dua negeri itu setaraf dengan negeri lain di semenanjung.

Azmi Hassan.

“Pada waktu itu Sarawak berdepan ancaman komunis, justeru menyebabkan ia tunduk kepada BN bagi memastikan keselamatannya dilindungi.

Beliau berkata, negeri Malaysia Timur perlu berhati-hati terhadap gabungan politik yang menguasai Putrajaya, tetapi menegaskan Sabah dan Sarawak harus diberikan autonomi tanpa mengira parti mana yang memerintah.

“Tidak perlu terlalu ghairah berhubung janji BN atau PH,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, janji royalti penuh sebagai satu strategi politik adalah sesuatu yang boleh diterima, tetapi Zahid menjanjikan sesuatu yang sukar dilaksanakan.

“Tawaran itu menggambarkan realiti keadaan politik hari ini yang menyaksikan negeri Borneo tidak berpuas hati terhadap kerajaan PH berhubung isu itu.

“Negeri yang tidak dikuasai oleh PH, terutama Sabah dan Sarawak, mempersoalkan semua dasar, termasuk dasar kewangan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

“Saya fikir Zahid hanya mengikuti langkah PH sebelum pilihan raya umum ke-14 apabila mereka menjanjikan perkara yang sukar dipenuhi. Tetapi dalam kes royalti minyak, ia boleh dilakukan dengan agak mudah,” katanya.

Azmi memberitahu FMT bahawa bayaran royalti penuh kepada negeri pengeluar boleh dilakukan sekiranya ia dilaksanakan bersekali dengan peruntukan belanjawan tahunan kepada kerajaan negeri.

“Di sini perlu ada perimbangan. Bagi negeri yang mendapat royalti penuh, saya andaikan peruntukan tahunannya akan dikurangkan. Jadi berdasarkan formula ini, bayaran royalti penuh boleh dilaksanakan.

Pembayaran royalti penuh bagaimanapun memberi kesan ke atas pendapatan Petronas dan menggugat pelaburan masa depan dengan mengurangkan kemampuan perbelanjaan modal syarikat dengan banyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.