Zainal Kling beri keterangan 2 jam di Bukit Aman

Zainal Kling beri keterangan 2 jam di Bukit Aman

Peguam berkata, Zainal Kling memberi keterangan bersama Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu UM, Hashim Ismail.

Zainal Kling (bersongkok) keluar dari Bukit Aman pada 12.55 tengah hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling memberi keterangan selama dua jam kepada polis berhubung ucapan berbaur perkauman dalam Kongres Maruah Melayu awal bulan ini.

Zainal bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai siasatan polis terhadapnya ketika meninggalkan pekarangan Bukit Aman 12.55 tengah hari.

Peguamnya, Mohd Hisham Marzuki berkata, Zainal memberi keterangan bersama Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya (UM), Hashim Ismail.

“Hari ini, kedua-dua Zainal dan Hashim telah membantu siasatan polis dan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

“Proses berlangsung selama dua jam,” katanya di pekarangan Bukit Aman hari ini.

Peguam, Mohd Hisham Marzuki berkata, polis tidak menyatakan jika Zainal Kling akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berhubung ucapan berbaur perkauman dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lalu.

Hisham berkata, polis tidak menyatakan jika Zainal akan dipanggil lagi.

Pada 23 Okt lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, Zainal dipanggil berikutan laporan polis yang dibuat pegawai khas timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Huzir berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Zainal menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja dan orang Melayu ketika berucap dalam Kongres Maruah Melayu.

Katanya, Malaysia adalah negara orang Melayu dan beliau mengingatkan kaum lain supaya tidak melanggar kontrak sosial dengan orang Melayu atau kerakyatan mereka boleh “digantung”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.