
Zaid Malek dari Lawyers for Liberty (LFL) berkata Mahajoth menerima notis malam tadi yang mengarahkannya hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini.
Zaid, yang turut mewakili Tei, berkata tindakan SPRM memanggil peguam tersebut adalah luar biasa dan menimbulkan persoalan mengenai kewajaran siasatan agensi antirasuah itu.
“Memanggil peguam dalam siasatan yang menyentuh komunikasi sulit antara peguam dan anak guam adalah satu pelanggaran serius terhadap Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 46 Akta SPRM 2009, yang melindungi komunikasi antara peguam dan klien.
“Tiada agensi penguat kuasa berhak memaksa, atau cuba memaksa peguam untuk mendedahkan perkara yang mereka dilarang sama sekali dari segi undang-undang dan etika,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaid berkata SPRM mesti melaksanakan kuasa penyiasatannya dengan berhemah, profesional dan menghormati hak suspek serta peguam mereka.
“Kami menggesa SPRM menarik balik segera notis yang dikeluarkan kepada Mahajoth dan menghentikan tindakan yang boleh menjejaskan integriti proses perundangan,” katanya.
Semalam, Tei dan Shamsul Iskandar Akin, bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes rasuah.
Kedua-duanya ditahan pada Jumaat selepas Tei mendakwa memberi rasuah kepada Shamsul untuk mendapatkan kembali dana yang didakwa diagihkan kepada wakil rakyat Sabah.
Tei, watak utama kontroversi skandal perlombongan Sabah, sedang dibicarakan di mahkamah atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam satu kes berasingan.
Seorang wanita, Sofia Rini Buyong, yang turut disiasat SPRM berkaitan dakwaan Tei, ditahan pada malam Khamis dan direman sehingga esok.