
Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata, memansuhkan undang-undang yang mengkategorikan cubaan membunuh diri sebagai kesalahan jenayah merupakan langkah pertama dan kegagalan bertindak sedemikian hanya akan menyebabkan data diperoleh tidak lengkap.
“Kita cadangkan penal kod 305, 306 dan 309 dikaji semula dan memang ia di bawah Pejabat Peguam Negara serta kita sasarkan tahun 2020 untuk melancarkannya.
“Kita tidak mahu orang yang berhasrat untuk membunuh diri ini dihukum sekali lagi,” katanya sewaktu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Lee berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang mempersoalkan adakah Putrajaya berhasrat untuk melaksanakan semula NSRM.
NSRM ditubuhkan pada 2007 untuk membolehkan orang ramai mengakses data mengenai bunuh diri di negara ini. Bagaimanapun, selepas dua daftar diterbitkan, laman web rasmi NRSM tidak lagi wujud pada 2009.
Lee berkata berdasarkan statistik dan makluman daripada polis mendapati, sebanyak 356 kes bunuh diri dilaporkan di seluruh negara sejak 2014 hingga Jun 2019.
Lee berkata, daripada 356 kes itu, jumlah kematian paling tinggi membabitkan kes bunuh diri melibatkan kaum Cina iaitu sebanyak 147 kes.
“Kaum India sebanyak 76 kes, kaum Melayu 47 kes, 17 kes bagi kaum-kaum lain dan 69 kes bagi bukan warganegara,” katanya.
Lee turut mendedahkan berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017, tren bagi idea bunuh diri menunjukkan peningkatan iaitu 10% pada 2017 berbanding 7.9% pada 2012.