
Beliau berkata KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan itu akan diberi tindakan tegas.
“KPM tidak pernah memberi kelulusan dalam pengedaran sebarang komik propaganda politik dan sekolah yang menerima komik tersebut diarahkan untuk tidak disebarluaskan.
“KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan,” katanya merujuk pengedaran komik kontroversi bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”.
Ahad lalu, Maszlee berkata sebarang komik politik, buku politik atau apa-apa bahan bersifat “propaganda” yang mahu diedarkan di sekolah perlu mengikut saluran yang betul.
Beliau berkata, salurannya adalah melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebab negara mempunyai undang-undang.
Sebelum ini, Menteri KDN, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, berdasarkan laporan awal Bahagian Keselamatan kementerian berkenaan terdapat “perkara tidak betul” dalam komik berkenaan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menerbit dan mengedarnya.
Mengulas lanjut, Maszlee menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.
Seramai 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk beberapa Adun parti itu membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.
Kenyataan tersebut ditandatangani lima Adun iaitu Phoong Jin Zhe (Adun Luyang), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata), Chow Yu Hui (Adun Tras), Lee Chin Chen (Adun Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).
Bahan itu diterbitkan hasil kerjasama antara kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.