Pengawal keselamatan dipukul kayu golf selepas kunci tayar kereta di petak OKU

Pengawal keselamatan dipukul kayu golf selepas kunci tayar kereta di petak OKU

Lelaki warga tempatan menyerang pengawal keselamatan warga Nepal dengan kayu golf kerana berang keretanya dikunci tayar.

Tangkap layar video pergelutan antara suspek yang parkir kereta di petak OKU dengan pengawal keselamatan warga Nepal.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana menyerang pengawal keselamatan warga Nepal dengan kayu golf selepas dia mengunci tayar keretanya yang diletakkan di petak yang dikhususkan bagi orang kelainan upaya (OKU).

Ketua Polis Wangsa Maju, Rajab Ahad Ismail berkata mangsa berusia 30 tahun itu membuat rondaan dan mendapati sebuah kereta Honda Jazz diparkir di petak OKU.

Dia kemudian mengunci tayar kenderaan tersebut.

Setengah jam kemudian, dua lelaki menghampirinya dan meminta dia membuka kunci tayar tersebut. Mangsa enggan dan berkata mereka perlu membayar denda di pejabat pengurusan terlebih dahulu.

Mereka tidak mempedulikan arahan mangsa dan cuba merosakkan alat tersebut.

“Mangsa menegur supaya jangan merosakkan ‘clamping’ tersebut.

“Tiba-tiba salah seorang suspek terus memarahi mangsa dan menumbuk muka mangsa, kemudian mengambil senjata besi (pemukul bola golf) dari bonet kereta dan memukul mangsa.”

Klip video yang dirakam saksi kejadian tersebar di media sosial tetapi diturunkan kemudian.

Rajab berkata suspek dari Terengganu itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Pengawal yang mengalami kecederaan pada tangan dan telinga kanannya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.