PPBM Tanjung Piai serah tiga nama untuk PRK

PPBM Tanjung Piai serah tiga nama untuk PRK

Kriteria calon adalah anak tempatan, berpengalaman dalam politik dan latar pendidikan yang baik.

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dijangka diumum 30 Okt.

Ketua PPBM Tanjung Piai Karmaine Sardini berkata majlis pengumuman calon itu dijangka diadakan di dataran terbuka berhadapan Dewan Jubli Intan dan persiapan mengenainya sedang dilakukan.

“Setakat ini kita sudah menyerahkan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan untuk diteliti dan diputuskan. Semua tiga yang dinamakan itu pemimpin PPBM Bahagian Tanjung Piai,” katanya yang ditemui pemberita hari ini.

Karmaine berkata antara kriteria calon yang ditetapkan itu adalah anak tempatan, berpengalaman dalam politik dan latar pendidikan yang baik.

Ditanya mengenai gerak kerja pilihan raya, Karmaine berkata usaha akan ditumpukan kepada 16 Pusat Daerah Mengundi yang mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov depan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.