Bersatu-PAS saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian, kata Wan Saiful

Bersatu-PAS saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian, kata Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata Umno sendiri menumpang parti lain demi kelangsungan politik.

Wan Saiful Wan Jan berkata realiti Malaysia menuntut parti ingin memerintah harus sedia bekerjasama dengan gerakan politik lain.
KUALA LUMPUR:
Bersatu dan PAS saling “tumpang menumpang” dalam memperjuangkan agenda bersama menerusi Perikatan Nasional (PN), kata Wan Saiful Wan Jan dan menyifatkan amalan itu sejajar realiti politik semasa.

Malah, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata Umno sendiri menumpang parti lain demi kelangsungan politiknya.

“Mana-mana parti dalam Malaysia memerlukan rakan untuk saling tumpang menumpang. Umno menumpang MCA, menumpang MIC, menumpang semualah yang ada dalam tu. Sekarang Umno menumpang Anwar Ibrahim, Umno menumpang DAP,” kata Wan Saiful yang juga bekas ketua penerangan Bersatu.

Menjawab pandangan yang meragui kekuatan Bersatu tanpa PAS, beliau berkata parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak segan silu mengaku ia tidak boleh bersendirian dalam perjuangannya.

Katanya, realiti Malaysia menuntut parti yang ingin memerintah harus sedia bekerjasama dengan gerakan politik lain, dan bijak menggembleng kekuatan gabungan berkenaan.

“Kami (PN) saling melengkapi sebab itu ia strategi yang berjaya,” katanya, sambil menyorot perhatian FMT kepada prestasi PN pada PRU15 yang disifatkan “amat menggembirakan”, katanya dalam wawancara dengan FMT.

Pada PRU15, PN menawan 74 kerusi Parlimen dengan 31 daripadanya disumbangkan Bersatu manakala selebihnya dimenangi PAS.

“PAS bawa kekuatan jentera, Bersatu bawa kekuatan imej dan reputasi yang dipercayai rakyat, Gerakan bawa agenda pelbagai budaya.

“Kewujudan parti politik ini akhirnya untuk mewujudkan kerjasama yang membolehkan kita membantu rakyat,” katanya.

Wan Saiful memberitahu FMT bahawa Bersatu kini berada pada kedudukan lebih kuat kerana kehendak generasi baharu rakyat.

“Bersatu tak perlu pamer (sebagai) alternatif kepada Umno. Memang rakyat menganggap kita lebih baik daripada Umno sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.