Beri Pang peluang, ‘campak’ jika gagal jalankan tugas, kata Tiong

Beri Pang peluang, ‘campak’ jika gagal jalankan tugas, kata Tiong

Presiden Parti Demokratik Progresif itu meminta pengundi memberi peluang kepada calon PH berkhidmat di Kuala Kubu Baharu selama sepenggal.

tiong king sing
Presiden Parti Demokratik Progresif Tiong King Sing ketika berucap dalam program mesra rakyat membantu kempen calon PH.
HULU SELANGOR:
Presiden Parti Demokratik Progresif, Tiong King Sing menggesa pengundi ‘mencampak’ Pang Sock Tao pada pilihan raya akan datang jika calon Pakatan Harapan (PH) itu gagal menjalankan tugas dengan baik selepas memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.

Tiong yang juga menteri pelancongan, seni dan budaya berkata, Pang perlu diberi peluang empat tahun untuk meneruskan khidmat di Kuala Kubu Baharu yang ditinggalkan penyandang sebelum ini, Lee Kee Hiong.

Beliau juga secara berseloroh meminta penduduk ‘mencampak Pang ke dalam sungai untuk diberi makan kepada buaya’ jika gagal berkhidmat dengan baik.

“Bagi calon kita sekali lagi peluang untuk menjalankan tugas, kalau dia (Pang) tak khidmat baik-baik tak apa, pilihan raya akan datang kita masuk dia dalam sungai kasi buaya makan.

“Kalau perkhidmatan baik kita terus beri peluang berkhidmat untuk Kuala Kubu Baharu selepas PRU akan datang,” katanya semasa berucap dalam program mesra rakyat membantu kempen calon PH.

Dalam ucapannya Tiong berkata, Kuala Kubu Baharu mempunyai banyak potensi pelancongan dan pihaknya akan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk bangunkan kawasan tersebut.

“Kalau mana-mana tempat kita rasa ada peluang pelancongan, kita sedia kemuka kepada kerajaan negeri untuk pertimbang dan kelulusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.