Tak mustahil KL-P Pinang dalam sejam naik kereta terbang, kata menteri

Tak mustahil KL-P Pinang dalam sejam naik kereta terbang, kata menteri

Redzuan Md Yusof berkata, prototaip kereta terbang dijangka dilancarkan akhir tahun ini dengan kosnya ditanggung pihak swasta.

Redzuan Md Yusof berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan sedang berusaha melancarkan projek kereta terbang secepat mungkin, termasuk memperkenalkan undang-undang berkaitan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya mengambil sejam dengan menaikikereta terbang berbanding empat jam menggunakan jalan darat.

Katanya, prototaip kereta terbang dijangka dilancarkan akhir tahun ini dengan kosnya ditanggung pihak swasta.

Beliau berkata, pihaknya dalam usaha melancarkan projek ini secepat mungkin, termasuk memperkenalkan undang-undang melibatkan kereta terbang.

“Kita pergi ke Pulau Pinang perlukan empat jam sekarang, pihak swasta dan usahawan sedang berbincang dengan penyedia teknologi tinggi untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam sejam menggunakan kereta terbang.

“Ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat pada 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, ketika Wawasan 2020 diperkenalkan, beliau baru berusia 15 tahun dan sudah membayangkan kereta terbang.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada menteri, sekurang-kurangnya impian untuk melihat kereta terbang tidak akan ditangguhkan sehingga fasa seterusnya menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Yang berhormat menteri seorang saja yang dapat menepati janji 2020,” kata bekas menteri belia dan sukan itu ketika bertanya soalan tambahan kepada Redzuan mengenai tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan.

Pada 2 Julai lalu, Redzuan dilaporkan berkata, model prototaip kereta terbang pertama Malaysia akan didedahkan kepada orang ramai pada bulan ini dan projek dipacu teknologi tempatan itu tidak menggunakan sebarang dana kerajaan.

Hari ini, Redzuan berkata, prototaip yang dibangunkan usahawan Malaysia itu sudah 85 peratus siap.

Beliau berkata, prototaip itu dibina di Jepun kerana ia lebih terbuka dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan sedemikian.

Katanya, projek kereta terbang itu akan mendorong pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya dan “Internet of Things” (IoT) yang sedang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, industri mobiliti udara mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara serta membangunkan perusahaan kecil dan sederhana.

“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti dirancang.”

Bercakap di lobi Parlimen selepas itu, Redzuan berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan sebuah institusi pengajian tinggi di Eropah untuk membawa masuk teknologi terbaru yang sudah dibangunkan di rantau berkenaan bagi kegunaan projek kereta terbang.

“Ada dua teknologi yang kami sedang kaji. Salah satu datang daripada sebuah institusi pengajian tinggi di Eropah. Kami sedang berunding untuk membawa masuk teknologi itu.”

Katanya, kereta terbang pertama Malaysia akan dilengkapi komponen canggih yang dihasilkan kilang Lynas di Kuantan.

“Mereka mungkin membuat penerbangan sulung pada suku ketiga tahun depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.