BMW ‘terbang’ langgar van sebelum terbakar, kata saksi

BMW ‘terbang’ langgar van sebelum terbakar, kata saksi

Saksi yang turut terlibat dalam kemalangan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari arah Permas Jaya menuju ke pusat bandar pada 6.15 pagi.

Seorang rentung dalam nahas membabitkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang Menghala Ke Bakar Batu, Johor Bahru, awal pagi semalam.
PETALING JAYA:
Seorang saksi nahas membabitkan empat kenderaan berhampiran Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam berkata dia melihat kereta BMW “terbang” sebelum melanggar van di depannya sehingga menyebabkan kebakaran.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Tan Jia Xin, 34, yang turut terlibat dalam kemalangan itu berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari arah Permas Jaya menuju ke pusat bandar pada 6.15 pagi.

“Saya nampak kereta BMW dari arah Johor Bahru terbang dan melanggar van di depan saya.

“Ketika itu saya amat terperanjat dan panik. Bagaimana sebuah kereta dari arah Johor Bahru boleh melayang dan ma­suk ke arah jalan bertentangan sedangkan tebing itu tinggi?

“Saya tidak sempat mengelak kerana kejadian berlaku sangat pantas dan sebaik sahaja kereta BMW itu langgar van, terus berlaku percikan api dan saya me­langgar belakang van tersebut kerana tidak sempat mengelak,’’ katanya menurut Utusan Malaysia.

Dia kemudian bergegas keluar dari kereta kerana api marak dengan cepat dan keretanya turut terbakar di bahagian enjin.

Tambahnya, pemandu van tersebut pengsan akibat dilanggar kereta BMW dari arah depan.

“Mujur ada penunggang motosikal yang membantu mengeluarkan pemandu van itu, kalau tidak sudah tentu pemandu itu turut terbakar,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, usaha beberapa penunggang motosikal untuk menyelamatkan pemandu BMW itu gagal kerana keadaan mangsa yang tersepit dan api marak dengan cepat.

Dalam kejadian awal pagi semalam, pemandu BMW itu didapati rentung 90% ditemui tersepit di bahagian pemandu kereta BMW.

Nahas itu membabitkan tiga kereta iaitu BMW, Perodua Myvi dan Honda City serta sebuah van pekerja kilang Nissan.

Kemalangan tersebut meng­akibatkan kesesakan teruk sehingga 12KM dari arah Pasir Gudang menuju ke pusat bandar raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.