
Dalam kenyataan dikeluarkan pada sidang media hari ini, majlis itu berkata ucapan Zainal hanya bertujuan untuk mengingatkan orang Melayu tentang sejarah, kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan konsep keistimewaan orang Melayu dalam kontrak sosial negara.
“Kesemua ini adalah hakikat dan fakta sejarah yang sentiasa menjadi bahan kuliahnya sebagai pemegang Kursi Raja-raja Melayu di UiTM (Univerisiti Teknologi Mara Malaysia),” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, Majlis Profesor Negara telah mengadakan satu perbincangan meja bulat di pejabat urus setia majlis pagi ini, yang dihadiri oleh seramai 50 orang ilmuwan.
Menurut kenyataan yang dibacakan, perkara sebut dalam ucapan Zainal pada kongres dua minggu lalu adalah bersandarkan kepada kepakaran beliau tentang budaya dan sejarah alam Melayu, persekutuan Tanah Melayu, kedaulatan dan ketuanan Raja Melayu dan kandungan Perlembagaan Persekutuan 1957.
Sewaktu memberikan ucapan sebagai penganjur kongres tersebut, Zainal mengingatkan orang bukan Melayu di negara ini tentang kontrak sosial mereka dengan orang Melayu dengan berkata, ia merupaksan asas mereka diberikan kerakyatan dan ia boleh “digantung” sekiranya perjanjian itu dilanggar.
Beliau juga dilaporkan berkata, orang Islam dibenarkan menamatkan perjanjian dengan orang bukan Islam sekiranya mereka melanggar syarat kontrak sosial.
Beliau berkata, Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana Thailand merupakan negara orang Thai, China untuk orang Cina dan India negara orang India.
Kenyataan beliau disusuli dengan beberapa laporan polis yang mengkritik ucapannya sebagai berbaur perkauman.
Kenyataan hari ini juga berkata, segala yang diungkapkan oleh Zainal tidak mengandungi sebarang unsur mengapi-apikan ketengangan kaum atau bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.
“Hanya orang yang tidak memahami hakikat sejarah masyarakat Tanah Melayu, termasuklah sejarah Raja-raja Melayu dan mereka yang tidak mengiktiraf keluhuran perlembagaan Malaysia yang berasa tersinggung dengan ucapan Prof Zainal,” katanya.
Zainal dijangka memberikan keterangan kepada polis dalam masa terdekat berhubung ucapannya itu.