Larang guna belon hidrogen di program awam, kata pakar

Larang guna belon hidrogen di program awam, kata pakar

Belon dalam program kementerian di Putrajaya semalam mungkin diisi dengan hidrogen kerana gas helium tidak mudah menyambar api.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa letupan belon di Hospital Putrajaya, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar kejuruteraan kimia menggesa pihak berkuasa mengharamkan penggunaan belon diisi hydrogen yang mudah terbakar susulan kejadian belon meletup pada program kecergasan anjuran Kementerian Pendidikan di Putrajaya semalam, yang mencederakan beberapa kanak-kanak.

Syed Shatir Asghrar dari Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara, berkata belon terbabit mungkin diisi dengan hidrogen kerana gas helium tidak mudah menyambar api.

“Helium tidak meledak. Walaupun bersentuhan dengan api, ia hanya meletup kecil. Tetapi hidrogen sangat mudah terbakar. Ia boleh menyebabkan kecederaan,” kata beliau kepada FMT.

Beliau berkata gas hidrogen jauh lebih murah berbanding helium yang boleh mendorong sesetengah penganjur mengisi dengan hidrogen.

Beliau memberi contoh satu insiden di Terengganu empat tahun lalu di mana peserta program awam mengalami kecederaan sama. “Terdapat banyak insiden di mana orang awam cedera di tempat lain di dunia kerana belon yang diisi dengan hidrogen.”

Walaupun helium dan hidrogen lebih ringan berbanding udara dan sesuai digunakan untuk mengisi belon, Syed Shatir berkata kerajaan mesti menyediakan garis panduan bagi penggunaan gas tersebut.

Syed Shatir Asghrar Syed Hassan dari UiTM berkata hidrogen adalah gas mudah meledak.

Beliau berkata Putrajaya harus memastikan penganjur program diberi garis panduan jelas mengenai penggunaan belon dan gas.

Semalam, 16 individu berusia dari empat tahun hingga lewat 30-an, dirawat di Hospital Putrajaya selepas cedera belon meletup ketika digunakan dalam program kecergasan Kementerian Pendidikan.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, Dr Khairul Nizam Hassan berkata tiada mangsa yang kritikal. “Mangsa mengalami luka terbakar tahap pertama dan kedua. Kawasan kecederaan berbeza-beza dengan luka pada alis mata, rambut dan tangan. Tiada yang mengalami luka terbakar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Rosly Hasan berkata, seseorang cuba memotong tali yang diikat pada belon tersebut menggunakan pemetik api, menyebabkan belon itu meletup. Pemetik api yang dibuang ditemui di tempat kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.