
Muhammad Zaimuddin Azlan juga mahu mengambil tindakan terhadap DBKL atas kekasaran dialami dalam insiden itu yang berisiko menyebabkannya hampir lumpuh selepas mengalami kecederaan tulang.
Dia hadir berkerusi roda sambil memakai alat sokongan pada sidang media bersama peguamnya Rafique Rashid untuk menjawab pelbagai tuduhan dan selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi.
Bercakap pada sidang media itu, Rafique berkata antara tuduhan dilemparkan termasuk Zaimuddin dibayar untuk berlakon sakit dan patah tulang belakang.
“Lihatah sendiri bagaimana keadaannya, terpaksa pakai kerusi roda.
“Doktor dari hospital kerajaan sendiri beri sijil cuti sakit 48 hari, kalau berlakon tak akan dapat waktu panjang seperti itu,” katanya.
Seorang pengamal perubatan swasta Dr Mohd Hafidz Rizal Amran pula mendakwa berdasarkan laporan perubatan, Zaimuddin mungkin berisiko lumpuh kekal selepas saraf tulang belakang toraks cedera dalam kejadian bulan lalu.
“Banyak komplikasi dan paling kita risau sekali dia mula rasa kebas dan pesakit tidak dapat mengawal kencing.
“Kita tak mahu ada risiko lumpuh, kita berdoa dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dia kembali pulih,” katanya turut menafikan Zaimuddin berlakon sakit.
Berhubung tindakan undang-undang, Rafique berkata perkara itu masih dipertimbangkan oleh pihaknya kerana beranggapan kekasaran oleh penguat kuasa DBKL tidak sepatutnya berlaku.
Mengulas dakwaan Zaimuddin mempunyai 13 rekod kes lampau yang semua berkaitan kes dadah, Rafique berkata pihaknya hanya akan mengulasnya jika perkara itu didedahkan pihak berkuasa, bukan memetik sumber.
Dalam pada itu, Zaimuddin mempersoalkan apakah dia tidak berhak untuk mencari rezeki yang halal disebabkan pernah mempunyai kes lampau.
“Berkenaan kes lampau memetik sumber sahaja buat masa ini, peguam saya menjawabnya.
“Namun, adakah sebab saya pernah ada kes, maka saya tidak boleh cari rezeki halal?” katanya sambil memberitahu dia menjual belon kerana ingin menampung kos rawatan pembedahan hernia pada 18 April.
“Tetapi terpaksa batal disebabkan kecederaan baru akibat insiden itu,” katanya.
Tiga anggota penguat kuasa DBKL terbabit dalam insiden itu telah digantung tugas.