RM299 juta bagi Program Sukan Untuk Semua

RM299 juta bagi Program Sukan Untuk Semua

Sebanyak RM179 juta diperuntukkan untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020, Sukan SEA Hanoi 2021 dan pembangunan atlet paralimpik.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM299 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020 untuk melaksanakan Program Sukan Untuk Semua, termasuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan, kompleks belia dan sukan serta kompleks sukan komuniti di seluruh negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata RM179 juta diperuntukkan untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 serta pembangunan atlet paralimpik.

“RM45 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara berbanding RM15 juta dalam Belanjawan 2019,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Lim berkata, bagi melahirkan lebih ramai atlet wanita bertaraf dunia, kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita.

“Kejayaan atlet wanita negara seperti Nicol Ann David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) ke peringkat tertinggi membanggakan rakyat dan negara.”

Katanya, kerajaan juga akan terus mempergiatkan program pembangunan belia dengan memperuntukkan RM138 juta untuk Kelab Pemuda Belia (YPC), Malaysia Future Leaders School (MFLS) dan inisiatif sukarelawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.