Banyak dipertaruhkan ketika Parlimen sidang semula dengan pimpinan baharu

Banyak dipertaruhkan ketika Parlimen sidang semula dengan pimpinan baharu

Titah Agong antara yang dinanti-nantikan selepas berbulan-bulan kemelut politik mengenai Darurat dan sama ada akan diadakan usul undi percaya.

Sidang Parlimen hari ini akan tertumpu kepada titah Yang di-Pertuan Agong berikutan kemelut politik yang melanda negara tahun ini.
PETALING JAYA:
Parlimen bersidang semula hari ini selepas ditangguhkan lebih 270 hari dengan pimpinan perdana menteri baharu di Dewan Rakyat menjadikannya pemimpin baharu kedua dalam tempoh dua tahun.

Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan hanya tiga minggu lalu dengan bayangan pemerintahan Muhyiddin Yassin sebelum ini kekal jelas, termasuk krisis Covid-19, pergelutan ekonomi dan kebajikan rakyat yang tidak dikendalikan dengan baik menyebabkan berlakunya peningkatan kes bunuh diri.

Pada Julai, Muhyiddin mengadakan persidangan Dewan Rakyat selama lima hari, namun ia dilihat lebih kepada taklimat kepada Ahli Parlimen. Persidangan ditangguhkan hanya tiga hari kemudian susulan kenyataan mengejutkan mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Ia kemudian mencetuskan krisis politik lain dan menyaksikan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Parlimen akan dibuka secara rasmi pagi ini oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Ia secara rasmi merupakan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.

Titah Sultan Abdullah yang kebiasaannya merangkumi intipati dasar kerajaan bakal menjadi “istimewa” kali ini selepas Istana Negara “diheret” untuk mengambil peranan dalam mengendalikan krisis politik negara.

Pada Januari, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Darurat yang diminta oleh kerajaan Muhyiddin dengan mengatakan bahawa ia memerlukan lebih banyak “kuasa” untuk memerangi krisis Covid-19.

Tetapi enam bulan kemudian, ketika keadaan menjadi semakin buruk, Agong menyatakan bahawa Parlimen harus segera bersidang semula. Ini diikuti dengan kenyataan daripada Majlis Raja-raja Melayu yang mengatakan bahawa Darurat tidak boleh dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyatakan rasa dukacita kerana kerajaan Muhyiddin telah membatalkan enam Ordinan Darurat tanpa persetujuan baginda.

Setelah mendapat tekanan daripada pengkritik dalam Umno dan pembangkang, Muhyiddin mengundurkan diri pada pertengahan Ogos, mengakhiri 17 bulan yang penuh dengan masalah ketika menjawat jawatan itu.

Pelantikan Ismail sebagai perdana menteri baharu hadir dengan peringatan, iaitu kenyataan Istana Negara yang berkata undi percaya harus dilakukan di Dewan Rakyat untuk mengesahkan majoriti yang diperolehi beliau.

Namun, kerajaan baharu ini kemudian mendakwa bahawa Agong “berubah pikiran” dan menteri undang-undang yang baharu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengatakan Agong bersetuju untuk tidak mengadakan undi percaya.

Titah Diraja pagi ini di Parlimen akan mendedahkan sejauh mana dakwaan itu.

Dewan Rakyat akan bersidang dari 14 September hingga 12 Oktober, sementara Dewan Negara akan bersidang dari 4 hingga 26 Oktober.

Jemaah Menteri ‘kitar semula’ dan undi percaya

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, perdana menteri baru-baru ini membuat beberapa keputusan yang menimbulkan kontroversi seperti melantik semula Jemaah Menteri yang hampir sama dan tidak membawa undi percaya – yang tidak terdapat dalam kertas usul bagi persidangan Parlimen kali ini.

“Tidak ada reformasi atau janji perubahan yang bermakna. Ini adalah politik lama yang sama. Ini bukan perkembangan politik yang baik kerana suasana di Parlimen kemungkinan akan suram,” katanya.

Pelantikan Muhyiddin

Ahli akademik Azmi Hassan berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara akan dibangkitkan oleh pembangkang.

“Mereka mungkin melihat langkah ini sebagai kontradik setelah perdana menteri memberitahu pembangkang supaya bekerjasama dengan mereka. Pembangkang mungkin enggan bekerjasama dengan kerajaan selepas pelantikan Muhyiddin,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara pada 4 September.

Azmi berkata, majlis itu sangat penting untuk menangani krisis Covid yang gagal dikendalikan oleh bekas perdana menteri. Pembangkang mungkin tidak bersetuju bahawa Muhyiddin adalah orang yang tepat untuk memimpin majlis berkenaan.

Rang Undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, beliau mengambil maklum dengan berita mengenai beberapa rang undang-undang (RUU) untuk memperkuat undang-undang Islam dan mengekang pengembangan agama bukan Islam.

Katanya, bahagian hal ehwal Islam diketuai hampir keseluruhan oleh ahli PAS.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengendalikan hal ehwal agama adalah naib presiden PAS, iaitu Idris Ahmad, sementara rakannya, Ahmad Marzuk Shaary adalah timbalan menteri.

“Perdana menteri harus membuat pendirian dan menjelaskan konsep ‘Keluarga Malaysia’ selepas pengumuman kontroversial oleh PAS. Di mana pendirian beliau dalam isu ini?” kata Santiago.

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS) baru-baru ini bertanya adakah perdana menteri baharu akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Baru-baru ini, Ahmad Marzuk berkata bahawa kerajaan merancang untuk menyusun empat undang-undang syariah baru, termasuk RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam selain RUU Wakaf, RUU Mufti dan RUU Mahkamah Syariah.

Art Harun lwn Azalina

Beberapa Ahli Parlimen memberitahu FMT bahawa mereka berhasrat mencalonkan Azalina Othman Said sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Azalina, bekas timbalan speaker, mengosongkan kerusinya pada 18 Ogos. Beliau adalah salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin yang menyebabkan kejatuhan pemerintahannya.

Beliau juga meletakkan dirinya sebagai penyokong kuat reformasi Parlimen, meminta agar kerusi timbalan speaker diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan mengemukakan notis usul bagi membentangkan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula.

Belanjawan 2022

Jemaah Menteri Ismail Sabri akan membentangkan Belanjawan Persekutuan sementara negara sedang berperang dengan wabak Covid-19 dan ekonomi yang bergelut.

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng berkata, belanjawan itu mungkin mesra rakyat kerana isi rumah dan PKS, yang berdepan perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan, memerlukan sokongan kerajaan untuk meneruskan kelangsungan mereka pada tahun hadapan.

Tambah beliau, ia mungkin diperluaskan untuk membantu sebanyak mungkin sektor terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.