Scotland lulus undang-undang larang ibu bapa pukul anak

Scotland lulus undang-undang larang ibu bapa pukul anak

84 ahli Parlimen mengundi menyokong manakala 29 menentang Rang Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak daripada Serangan.

Bukti di peringkat antarabangsa menunjukkan tindakan memukul boleh mendatangkan kesan buruk yang serius terhadap kanak-kanak.
LONDON:
Scotland pada Khamis menjadi bahagian pertama di Britain yang melarang ibu bapa memukul anak mereka, lapor agensi berita China Xinhua.

Undang-undang baru itu mendapat kelulusan ahli Parlimen Scotland di Edinburgh.

Sejumlah 84 ahli Parlimen mengundi menyokong manakala 29 menentang Rang Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak daripada Serangan.

Undang-undang baru itu, yang diusulkan bekas pegawai polis John Finnie dari Parti Hijau, memberikan perlindungan yang sama kepada kanak-kanak daripada keganasan seperti orang dewasa.

Finnie berkata dengan menghapuskan hak ibu bapa untuk memukul anak mereka akan membawa Scotland ke tahap antarabangsa.

Beliau berkata “adalah mengejutkan rakyat kita yang paling kecil dan lemah adalah satu-satunya golongan yang tidak memiliki perlindungan ini dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk membetulkan perkara itu. Hukuman fizikal tiada tempat dalam negara Scotland pada abad ke-21.”

Beliau berkata bukti di peringkat antarabangsa menunjukkan tindakan memukul boleh mendatangkan kesan buruk yang serius terhadap kanak-kanak dan ia tidak berkesan.

Kebimbangan disuarakan parti pembangkang berhubung undang-undang baru itu dengan alasan ia boleh menjenayahkan ribuan ibu bapa yang ingin mendisiplinkan anak mereka.

Jamie Gillies, dari kumpulan kempen Be Reasonable, memberitahu media di Scotland: “Langkah mencari kaedah untuk perlindungan lanjut kanak-kanak adalah dipuji, namun larangan memukul bukan caranya.”

BBC melaporkan Wales juga bakal memperkenal larangan serupa namun buat masa ini, tiada sebarang rancangan di pihak England atau Ireland Utara untuk mengikutinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.