
Stanley Sigau Nyalang yang bertugas di Balai Bomba Damansara berkata, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat juga kesan terbakar di bahagian muka, dada dan kaki sebelah kanan mangsa.
“Saya ditugaskan sebagai penyelamat kepada mana-mana mangsa terlibat dengan kebakaran.
“Di bilik tempat kejadian, saya nampak satu badan seorang lelaki, di bahagian kepada mangsa saya dapati terdapat kesan lubang seperti dipukul.
“Saya turut melihat ada longgokan darah di bahagian kepala mangsa,” katanya semasa memberikan keterangan di mahkamah, hari ini.
Bekas eksekutif kanan sebuah syarikat, Samirah Muzaffar dan dua remaja dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018 di kediaman mereka di Mutiara Damansara.
Ketika ini, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang juga disyaki terlibat dalam pembunuhan itu masih bebas.
Menurut saksi ke-11 itu, perkara itu hanya disedari selepas dia bersama beberapa anggota bomba lain selesai memadamkan kebakaran yang berlaku di bilik mangsa, pada 14 Jun tahun lalu.
Jelasnya, mayat lelaki itu berada dalam keadaan terlentang dan berseluar dalam di sebelah katil dan mendapati kesan lubang di bahagian kepala mangsa adalah dianggarkan sepanjang tiga hingga empat sentimeter
Stanley berkata, beliau kemudiannya diarah untuk tidak menyentuh mayat berkenaan dan menunggu hingga pihak forensik dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis tiba di lokasi kejadian.
“Di dalam bilik tersebut, saya dapati terdapat satu beg plastik mengandungi bunga api di bahagian kabinet televisyen di dalam bilik tersebut. Saya periksa bungkusan bunga api tersebut.
“Saya turut melihat katil dalam bilik tersebut terbakar sepenuhnya dan di dinding di belakang katil yang terbakar tersebut saya dapati seperti terkena percikan bunga api,” katanya.
Stanley bagaimanapun menegaskan beliau tidak dapat memastikan apakah kebakaran katil di dalam bilik berkenaan disebabkan bunga api atau tidak.
Sementara itu, seorang lagi anggota bomba, Muhammad Rezza Rusli dalam keteranganya memaklumkan, mayat itu ditemui pada hari kejadian dalam keadaan kaku dan kejung sewaktu kebakaran selesai dipadamkan.
“Serta merta saya memanggil seorang lagi anggota, Tanhoss Bah Agem dan memintanya membuat pemeriksaan sama ada mangsa masih bernyawa atau tidak,” katanya.
Katanya, apabila keadaan terkawal dan sewaktu menuju ke luar rumah bagi menyimpan peralatan, beliau mendapati terdapat seorang remaja lelaki dalam lingkungan umur 14 ke 15 tahun memegang sebuah kotak.
Rezza bagaimanapun menjelaskan beliau tidak mengetahui isi kandungan kotak berkenaan.
Muhammed Shafee Abdullah sewaktu sesi soal balas mewakili tertuduh, Samirah Muzaffar dan dua remaja meminta Rezza menerangkan lebih lanjut situasi berkenaan.
Shafee: Semasa melihat kanak-kanak ini keluar dari rumah sambil pegang kotak, adakah anda bertanya apa-apa. Apakah anda tahu kotak itu di bawa ke mana, boleh anda beri gambaran kepada mahkamah kotak ini bagaimana bentuknya?
Semua soalan diaju Shafee dijawab dengan jawapan “tidak pasti” oleh Rezza.
Beberapa soalan lain diajukan Shafee turut dijawab dengan jawapan “tidak pasti” sehingga peguam berkenaan mempersoalkan adakah Rezza berkata benar.
“Adakah kamu mereka cerita dan adakah ada orang menyuruh kamu cerita. Anda hanya perlu bercakap benar,” soal Shafee yang kemudian dijawab dengan jawapan “tidak” oleh Rezza.
Pendengaran di depan Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman akan bersambung esok.