Bunga api mungkin punca kebakaran bar di Switzerland

Bunga api mungkin punca kebakaran bar di Switzerland

Penyiasat membuat kesimpulan bunga api diletakkan pada botol minuman keras dan berada terlalu dekat dengan siling mungkin punca kebakaran maut di sebuah bar.

penghormatan mangsa bar
Orang ramai memberi penghormatan kepada mangsa kebakaran sebuah bar di Crans-Montana, Switzerland dengan menyalakan lilin di luar lokasi kejadian. (Gambar EPA Images)
GENEVA:
Kebakaran maut yang memusnahkan sebuah bar di pusat peranginan pergunungan Alps, Switzerland semasa sambutan Tahun Baharu sehingga mengorbankan 40 nyawa, kemungkinan besar berpunca daripada bunga api diletakkan pada botol minuman keras dan berada terlalu dekat dengan siling, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ketua Peguam Valais, Beatrice Pilloud, berkata penyiasat membuat kesimpulan itu selepas menilai rakaman video, menemu bual saksi serta mengumpul bukti awal daripada Bar Le Constellation di pusat peranginan ski Crans-Montana. Kebakaran itu berlaku sejurus selepas tengah malam pada hari pertama Tahun Baharu.

Kenyataan saksi diperoleh daripada pengurus bar warga Perancis serta pelanggan yang terselamat.

Komander Polis Valais, Frédéric Gisler, pada Jumaat mengesahkan 40 maut dalam kebakaran itu dan 119 lagi mangsa cedera dimasukkan ke hospital.

Anggaran awal sebelum ini melaporkan 115 orang cedera dalam kebakaran itu.

Gisler berkata, 113 daripada mangsa cedera telah dikenal pasti, antaranya 71 warga Switzerland, 14 warga Perancis, 11 warga Itali dan empat warga Serbia.

“Kami sedang menyiasat sama ada prosiding jenayah bagi kesalahan membunuh tanpa niat akibat kecuaian akan dimulakan,” kata Pilloud.

Tindakan itu akan diambil sekiranya individu bertanggungjawab terhadap tragedi berkenaan masih hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.