Polis: Siasatan pemimpin Puteri Umno label lelaki amuk mati syahid selesai

Polis: Siasatan pemimpin Puteri Umno label lelaki amuk mati syahid selesai

Polis Bukit Aman menyerahkan kertas siasatan Nurul Amal Mohd Fauzi melabelkan lelaki mengamuk di sebuah kilang di Bayan Lepas sebagai mati syahid, kepada Jabatan Peguam Negara pada Isnin lalu.

Nurul Amal Mohd Fauzi memberi keterangan lebih tiga jam di Bukit Aman pada Isnin lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis berkata, kertas siasatan terhadap Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi yang didakwa melabelkan seorang lelaki berparang dan mengamuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai mati syahid, sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan itu dihantar pada hari sama selepas keterangan Amal direkodkan Isnin lalu.

“Tiada lagi saksi lain akan dipanggil, saksi terakhir yang diambil keterangan ialah naib ketua Puteri Umno.

“Untuk makluman, kertas siasatan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada hari yang sama, sebelah petang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, polis dilaporkan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505C Kanun Keseksaan (cuba mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Isnin lalu, Amal memberi keterangan lebih tiga jam di Bukit Aman susulan satu laporan polis dibuat Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid di Pulau Pinang pada 29 Sept lalu.

Amal kemudiannya menafikan ucapannya dalam sebuah ceramah di Kubang Kerian, Kelantan bertujuan mengapi-apikan isu perkauman dan agama dalam kes kematian lelaki berparang yang mengamuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang, minggu lalu.

Katanya, dia hanya mahu menyampaikan ucapan takziah kepada lelaki yang mati ditembak polis itu menerusi ucapannya pada 24 Sept lalu.

Pada 23 Sept lalu, seorang lelaki ditembak mati kerana cuba menyerang dua anggota polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, suspek berusia 25 tahun menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.

Keesokannya, Amal didakwa melabelkan lelaki itu sebagai mati syahid kerana dia menyerang individu yang dituduh menghina nabi dalam sebuah ceramah di Kubang Kerian.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai kejadian amuk itu yang dianggap boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.