
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Shahaniza Shamsuddin, berkata MCA sentiasa dilibatkan dalam program BN, malah diberi kedudukan dalam kerajaan negeri diperintahnya seperti di Pahang.

Beliau memberi contoh pelantikan Ketua MCA Temerloh Wong Tat Chee sebagai Adun lantikan di Pahang selain bekas ketua Pemudanya Nicole Wong Siaw Ting dilantik pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Zahidi Hamidi yang juga presiden Umno.
“Apa bukti terpinggir? Sambutan ulang tahun Umno ke-79 pun Presiden MCA Wee Ka Siong hadir.
“MCA seharusnya fokus menguatkan BN bagi menang PRU16 dan terus ke depan,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan dakwaan itu hanya pandangan peribadi pemimpin tertentu.
Semalam, FMT melaporkan kenyataan bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker yang berkata parti itu perlu menentukan haluan sendiri, memandangkan ahlinya semakin merasakan mereka diketepikan
Umno, yang merupakan tunjang BN.
Beliau mendakwa, ahli MCA berpendapat Umno kini lebih memihak kepada DAP iaitu ‘musuh ketat’ partinya.

Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi, pula menasihatkan MCA membantu parti itu menguatkan kembali BN yang mengalami kemerosotan apabila hilang cengkaman kuasa di Putrajaya sejak PRU14.
“BN gabungan terbaik mewakili semua kaum dan diterima sebelum ini sehinggalah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) muncul.
“Seharusnya kita memikirkan yang terbaik bukan hanya untuk parti masing-masing tetapi demi negara,” katanya mengajak MCA bersama menarik pengundi muda.
“Kita sama-sama memahamkan mereka betapa pentingnya politik untuk negara demi kestabilan semua.”