Puteri Umno gesa Pemuda PH jangan provokasi isu kerusi Melaka

Puteri Umno gesa Pemuda PH jangan provokasi isu kerusi Melaka

Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi berkata soal pembahagian kerusi seharusnya diserahkan kepada pimpinan atasan BN-PH.

Nurul Amal Mohd Fauzi
Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi berkata pimpinan Pemuda dalam Pakatan Harapan tidak perlu membuat provokasi dalam isu agihan pembahagian kerusi PRN Melaka.
PETALING JAYA:
Puteri Umno menggesa pimpinan Pemuda dalam Pakatan Harapan (PH) tidak membuat provokasi terhadap parti itu berhubung isu pembahagian kerusi DUN Melaka.

Ketuanya, Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata soal pembahagian kerusi seharusnya diserahkan kepada pimpinan atasan Barisan Nasional (BN) dan PH untuk membuat keputusan.

“Yang bawah-bawah tak perlu buat provokasi jika fikirkan (soal) kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas isu pembahagian kerusi PRN Melaka yang menimbulkan pertikaian dalam kalangan parti kerajaan perpaduan susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘9 cawangan DAP Melaka’ meluluskan strategi 14BN+14PH pada PRN Melaka akan datang.

Laporan itu dibidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang berkata BN Melaka tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu kepada DAP.

Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda, kemudian berkata tindakan Akmal tidak mencerminkan semangat muafakat dalam kerajaan perpaduan dan mahu kenyataan itu ditarik balik.

Dalam pada itu, Nurul Amal mengingatkan pimpinan PH tidak mendahului pucuk pimpinan dalam isu pengagihan kerusi PRN Melaka dan tidak melangkaui ‘had’.

Katanya, BN dan PH duduk bersama dalam kerajaan perpaduan adalah demi menjaga kestabilan politik negara.

“Tidak kiralah negeri mana sekali pun, jangan sekali-kali kita ‘cross border line’,” katanya.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan pecahan BN (21), Pakatan Harapan (5) dan Perikatan Nasional (3).

PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya November 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.