
Ia selepas kegagalan program pengasingan sisa pepejal isi rumah dan sisa plastik yang diseludup ke Malaysia baru-baru ini.
Zuraida berkata, beliau sedang bekerjasama dengan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal, termasuk Alam Flora dan SWM Environment Sdn Bhd untuk melaksanakan skim pengasingan sisa sampah di seluruh negara.
Syarikat terbabit diminta mengenal pasti kawasan perumahan supaya skim itu boleh dimulakan tahun depan.
Katanya, syarikat konsesi itu perlu tampil dengan infrastruktur dan menyediakan bahan sokongan seperti tong sampah untuk mengasingkan sampah.
“Walaupun hanya tujuh negeri yang syarikat konsesinya tandatangan perjanjian dengan kita setakat ini, kita berazam membersihkan negeri itu,” katanya selepas melancarkan kertas putih mengenai “Industri Kitar Semula Plastik Lanjutan” yang diterbitkan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) di sini, hari ini.
Zuraida berkata, projek perintis baru itu akan dilaksanakan di kawasan perumahan terpilih dan mereka yang tidak bersetuju dengan skim pengasingan sampah itu, “kita tidak akan kutip sampah anda dan anda perlu hidup dengan sampah anda”.
Ditanya bagaimana kempen itu berbeza daripada projek pada 2015, katanya, program pendidikan dan kesedaran akan diperhebatkan.
“Kedua, ia perlu tampil dengan peraturan dan undang-undang dan akhirnya penalti. Kami ada undang-undang itu, tetapi penguatkuasaan belum dilaksanakan, jadi kami sedang mengkajinya.”
Beliau memetik negara seperti Jepun dan Finland mengambil 25 hingga 40 tahun untuk melaksanakan sistem mereka.
“Saya tidak fikir Malaysia perlu ambil masa begitu lama. Kita sudah mempunyai beberapa contoh di tangan dan bagaimana ia dilakukan. Jika kita tunggu selama 40 tahun, saya tidak tahu apa akan berlaku kepada negara ini.”
Program pengasingan sampah mandatori yang diumumkan pada Sept 2015 berdepan sikap acuh tak acuh orang ramai dan kekurangan penguatkuasaan.
Rakyat pada mulanya diberikan tempoh penyesuaian enam bulan sebelum penguatkuasaan dimulakan pada Jun 2016.
Tukar sampah jadi wang
Zuraida mahu rakyat yang tinggal di rumah kos rendah menukar sampah mereka kepada wang. Di peringkat komuniti, katanya, pegawainya akan mengajar penduduk cara mengasingkan, mengitar semula dan menjual smapah mereka.
“Mereka boleh mendapat wang daripada sampah mereka dan selepas itu untuk sisa makanan, kami akan ajar mereka cara menjadikan ia kompos.”
Beliau berkata, kementeriannya memulakan projek perintas di Ampang pada Ogos lalu dan berharap dapat membangunkan prosedur operasi standard bagi kawasan lain.