Kegagalan laluan kereta api turun 60% tahun lalu, kata menteri

Kegagalan laluan kereta api turun 60% tahun lalu, kata menteri

Prasarana Malaysia Bhd menyasarkan kegagalan pada empat laluan kereta apinya dikurangkan sebanyak 35% tahun ini.

Loke Siew Fook berkata penting untuk mengurangkan gangguan di laluan kereta api.
KUALA LUMPUR:
Jumlah kegagalan semua laluan rel yang dikendalikan Prasarana Malaysia Bhd berkurangan sebanyak 60% tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya laluan LRT Kelana Jaya, paling sibuk antara empat laluan, berdepan 49 kegagalan pada 2022, termasuk gangguan berterusan selama lima hari dan menjejaskan 14 stesen kereta api.

“Masih ada gangguan pada 2023, tetapi ia turun kepada 36. Itu peningkatan kira-kira 27%,” katanya ketika membentangkan laporan prestasi 2023 Prasarana dan rancangannya tahun ini.

“Bagi 2024, kami menyasarkan untuk mengurangkannya tidak lebih 28 kali. Mengurangkan gangguan penting. Lebih rendah, lebih baik.”

Prasarana menetapkan kegagalan sebagai gangguan teknikal lebih lima minit.

Dari 2022 hingga 2023, Loke berkata laluan MRT Kajang menyaksikan pengurangan daripada 46 kepada 38 kegagalan, manakala laluan MRT Ampang berkurangan daripada 79 kepada 19 kegagalan.

Sasaran bagi 2024 adalah 21 dan sembilan kegagalan bagi dua laluan itu.

“KL Monorail, yang mengalami gangguan setiap dua minggu pada 2022, hanya berdepan tujuh gangguan pada 2023 – peningkatan sebanyak 91%.”

Menurut laporan prestasi itu, semua empat laluan kereta api tersebut dijangka menyaksikan keseluruhan 35% pengurangan kegagalan tahun ini.

Mengenai pengurangan kegagalan bagi laluan MRT Ampang berbanding laluan LRT Kelana Jaya, CEO Prasarana, Azharuddin Mat Sah, berkata laluan Ampang mempunyai kumpulan gerabak lebih baharu, menjadikan pembaikan dan penyelenggaraan dari perspektif “alat ganti” lebih mudah.

“Laluan Kelana Jaya menggunakan model kereta api 818 yang sudah beroperasi selama 15 tahun, jadi ia lebih rumit dan kami sedang melakukan pemulihan pertengahan hayat.

“Ia akan mengambil sedikit masa lagi, mungkin dua atau tiga tahun (bagi kereta api laluan Kelana Jaya) untuk benar-benar mencapai piawaian laluan MRT Ampang.”

Loke berkata, laluan LRT Kelana Jaya dijangka mendapat tambahan 12 kereta api baharu.

Penguatkuasaan lorong bas

Loke turut menyentuh rancangan meningkatkan penguatkuasaan dan menghukum individu menyalahgunakan lorong bas, khasnya kerana Prasarana bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memperluaskan lorong bas sedia ada di Lembah Klang.

Katanya, mereka akan mengkaji pendekatan ganjaran dan hukuman bagi memastikan penggunaan lorong bas yang betul.

Menurut laporan prestasi, purata penumpang bas harian ialah 241,000 orang tahun lalu dan ia menyasarkan 285,000 penumpang tahun ini.

Loke mengakui penumpang bas belum kembali ke tahap prapandemik.

“Orang ramai tidak suka menaiki bas kerana akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, jadi kekerapannya tidak dapat diramalkan. Kami sedang menangani isu itu. Itu sebabnya kami berusaha memperkenalkan lorong bas. Ada dua lorong bas ketika ini, iaitu Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.