Kegagalan BN ‘tolak’ pengundi kepada DAP, PAS, kata Chandra

Kegagalan BN ‘tolak’ pengundi kepada DAP, PAS, kata Chandra

Chandra Muzaffar berkata, BN pernah mendominasi kelompok tengah, tetapi kepimpinan dan tadbir urus lemah serta rasuah membawa kepada kejatuhannya.

Parti berhaluan tengah Malaysia perlu mengembalikan keyakinan rakyat dengan memfokuskan tadbir urus baik serta dasar kukuh, kata Chandra Muzaffar.
PETALING JAYA:
Kedudukan PAS dan DAP semakin kukuh akibat pelbagai kegagalan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) berhaluan tengah sejak 1990-an, kata pakar sains politik Chandra Muzaffar.

“Jika prestasi pemimpin berhaluan tengah baik, mereka pasti kekal berkuasa,” kata Chandra kepada FMT dengan menambah kekalahan BN secara langsung menguntungkan PAS serta DAP, yang rata-rata dilihat sebagai parti berhaluan kanan dan kiri.

Terdahulu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, PRN enam negeri baru-baru ini menunjukkan rakyat Semenanjung Malaysia masih mengundi berdasarkan kaum dan agama.

DAP dan PAS menang paling banyak kerusi dalam PRN lalu, iaitu masing-masing 97.9% (47 daripada 48) serta 82.7% (105 daripada 127) kerusi ditandingi mereka.

Chandra berkata, BN pernah mendominasi kelompok tengah, tetapi gabungan kepimpinan dan tadbir urus lemah serta rasuah membawa kepada kejatuhannya.

Katanya, kegagalan kerajaan mengekang naratif komunal turut memberi kesan negatif.

“Naratif seperti bagaimana orang Cina menguasai ekonomi sepenuhnya tidak benar. Ada juga naratif mengenai orang Cina dan India tiada hak di negara ini yang juga tidak benar.

“Masalah sebenar bukan dari segi kaum dan agama, tetapi masalah sosioekonomi. Ekonomi, pekerjaan, pendidikan.”

Akibatnya, pengundi kelompok tengah mula melihat pesaing BN, iaitu DAP dan PAS, untuk mencari penyelesaian.

“Bagi orang Cina, mereka melihat DAP sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan mereka. Bagi orang Melayu pula adalah PAS.”

Katanya, trend sama boleh dilihat di Amerika Syarikat, apabila orang ramai menyokong Donald Trump dalam pilihan raya presiden 2016, serta di India, dengan pengundi menyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 2014.

“Trump dan BJP masing-masing memainkan isu perkauman, tetap isu dihadapi rakyat AS serta India lebih berkait masalah sosioekonomi berbanding kaum dan agama.”

Katanya, trend politik ini tidak elok untuk demokrasi kerana rakyat tidak mengundi berdasarkan merit, sebaliknya kerana parti tertentu mempunyai kaitan dengan masyarakat atau kepentingan kaum serta agama masyarakat tertentu.

Chandra berkata, parti berhaluan tengah perlu mengembalikan keyakinan rakyat dengan memfokuskan tadbir urus baik serta dasar kukuh, bukannya cuba mengalahkan parti berhaluan kanan atau kiri untuk meraih sokongan.

“Bagi Umno, mereka gagal berubah dan belajar daripada kekalahan pada 2018. Mereka bertanding dalam PRU15 dan PRN dengan mengharapkan hasil berbeza, namun itu tidak berlaku.

“Ini turut menjejaskan pihak yang bekerjasama dengan mereka seperti PKR dan Amanah. Sokongan terhadap mereka semakin berkurangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.