
Dalam hantaran di halaman Facebooknya, bekas ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata berdasarkan bahan-bahan visual yang diperoleh orang awam masalah dialami pesawat itu mungkin disebabkan kegagalan sama ada ‘aileron’ atau gabungan kedua-dua kemudi atau ‘elevator’.
“Melihat kepada bahan-bahan visual sahaja (dalam bentuk rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang juga mempunyai lain-lain kekangan), saya lebih cenderung untuk percaya isu yang jadi persoalannya ialah kawalan penerbangan – lebih kepada masalah pada sayap, kemungkinan kegagalan sama ada ‘aileron’ atau gabungan kedua-dua kemudi dan ‘elevator’,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kegagalan pesawat juga boleh berpunca daripada pelbagai masalah seperti isu penyenggaraan, kegagalan integriti struktur pesawat, kegagalan enjin, isu kawalan penerbangan, masalah avionik dan faktor manusia.
Beliau berkata lebih maklumat diperlukan dalam mencari faktor penyebab nahas itu termasuk siasatan di lokasi kejadian, pemeriksaan mikro dan makro ke atas bahagian atau serpihan pesawat dan analisis kotak hitam.
Sementara itu, Samsuri yang mewakili semua warga Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) petang semalam.
Dalam kejadian itu 10 lelaki disahkan maut terdiri daripada enam penumpang termasuk Exco Pahang Johari Harun dan dua kru pesawat.
Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui lebuh raya itu.