
FMT difahamkan pusat peranginan Pantai Irama juga sepi tanpa pengunjung dan kedai makanan di sepanjang pantai juga ditutup manakala Pasar Besar Bachok, Pasar Besar Siti Aishah dan beberapa pasar basah juga tidak dibuka.
Kerajaan negeri Kelantan dilaporkan memberi arahan kepada peniaga menghentikan segala urusan jual beli selama tiga hari kecuali kedai makan dan kedai runcit.

Pengendali kedai makan dan kedai runcit juga dikatakan tidak beroperasi kerana ada yang salah faham dengan mesej arahan atau sebagai tanda hormat.
Arahan itu dikeluarkan dalam satu surat rasmi ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Azmi Tengku Jaafar sebagai tanda hormat, selain tidak boleh melangsungkan sebarang pertunjukan atau permainan sukan selama 40 hari dari hari kemangkatan.
Majlis Daerah Bachok turut berkongsi mesej sama yang di laman Facebook rasminya.

Seorang penduduk di pekan Jelawat, Bachok yang dikenali sebagai Elanna berkata, dia sekeluarga terputus bekalan makanan disebabkan Pasar Besar Siti Aishah, tempat berkumpul peniaga dan peraih ditutup sejak Sabtu.
“Di Bachok pagi tadi macam perkampungan hantu. Minta suami cari nasi pagi (nasi berlauk), sampai ke Gunung, satu kedai pun tak buka.
“Saya terpaksa pergi Kota Bharu dan Tumpat, baru jumpa orang buka kedai. KFC dan McDonald’s juga buka.
“Peliknya, di Bachok saja jadi macam tu. Ini di Pantai Sri Tujuh, kedai elok-elok buka,” katanya kepada FMT yang terpaksa ke daerah Tumpat untuk mencari keperluan harian.

Seorang lagi penduduk Bachok, Siti Norfatiha berkata pihak berkuasa tempatan juga membuat rondaan dan menggunakan pembesar suara untuk mengingatkan langkah tersebut setiap kali melalui di beberapa kawasan seperti Bachok.
“Tuan-tuan dan puan-puan adalah dilarang, sekiranya didapati tuan-tuan dan puan-puan masih menjalankan operasi, pihak kami akan menjurus pergi ke kedai, akan mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun RM500,” tulisnya di Facebook memetik rakaman suara majlis perbandaran tersebut.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Shahera berkata, saudaranya di Bachok memberitahu peniaga nasi berlauk tidak berani menjalankan perniagaan, bimbang diserbu pihak berkuasa tempatan.
“Itu lah, orang kampung mesti takut nak buka kedai dan hormat kepada raja juga,” katanya.