Kerajaan digesa jaga pemandu teksi, bas dengan baik

Kerajaan digesa jaga pemandu teksi, bas dengan baik

Kumpulan teksi berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak melihat masalah mereka.

Dua kumpulan pengangkutan awam berkata kerajaan perlu ambil lebih banyak tindakan bagi menambahbaik pengangkutan awam.
PETALING JAYA:
Dua kumpulan pengangkutan awam berkata pengangkutan awam boleh ditambahbaik dengan menjaga pemandu teksi dan bas, manakala seorang penyokong teksi motosikal berkata perubahan perlu dibuat bagi memastikan sistem pengangkutan awam memenuhi keperluan rakyat.

Ketua sebuah persatuan pemandu teksi berkata Belanjawan 2020 perlu menyediakan dana untuk membantu pemandu menukar kenderaan. Beliau juga menyeru perkhidmatan e-panggilan dikawal bagi memastikan teksi dan perkhidmatan e-panggilan beroperasi di lapangan rata.

Kamaruddin Hussain, presiden Gabungan Teksi SeMalaysia.

Ketua sebuah persatuan pengusaha bas pula berkata kerajaan perlu membantu menangani kekurangan pemandu bas. Beliau mencadangkan sekolah-sekolah memandu sediakan pelajaran percuma.

Kamaruddin Hussain, presiden Gabungan Teksi SeMalaysia berkata, kebajikan pemandu teksi diabaikan kerajaan Pakatan Harapan, manakala Kementerian Pengangkutan pula tidak merancang sebarang program untuk membangunkan industri itu.

Beliau berkata kerajaan perlu mendapatkan kembali kepercayaan pemandu teksi dengan menyediakan dana untuk membantu membiayai pembelian kenderaan baru. “Kami ada rancangan tentang bagaimana membantu pemandu teksi dapatkan kereta lebih baik pada kadar lebih murah. Kami ada caranya. Kerajaan perlu duduk bersama kami dan dengar cadangan ini.”

Beliau tidak meminta pemberian wang tunai, tetapi mencadangkan satu badan ditubuhkan di mana dana itu boleh disalurkan dan mengelakkan pembaziran.

Beliau juga menggesa peraturan perkhidmatan e-panggilan yang lebih ketat. Pemandu e-panggilan mesti mematuhi peraturan sama seperti pemandu teksi, katanya. “Kelaskan kenderaan e-panggilan sebagai teksi, supaya kedua-dua jenis pemandu tertakluk pada undang-undang dan peraturan sama. Beri kami peluang kerja dan kawal industri dengan baik,” katanya.

Kamaruddin berkata Kementerian Pengangkutan bawah Pakatan Harapan tidak pernah adakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan pemandu teksi sejak kerajaan baru ambil alih. “Kerajaan dulu, kami diberitahu tidak baik dan korup, masih beri perhatian pada masalah kami. Mereka beri set tayar baru, beri bantuan tunai RM800, manakala kerajaan PH langsung tak beri apa-apa.”

Latih pemandu bas

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia Ashfar Ali berkata Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) boleh digunakan untuk menangani kekurangan pemandu bas.

Ashfar Ali, presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia.

Beliau mencadangkan sekolah-sekolah memandu terpilih tawarkan latihan percuma, dibiayai kerajaan melalui HRDF, kerana mereka yang ingin belajar rasa terhalang dengan bayaran RM5,000 untuk layak menjadi pemandu bas.

Beliau memberitahu FMT bahawa kekurangan pemandu menjadi masalah selama lebih 20 tahun. Antaranya kerana pemandu bersara, berhijrah ke Singapura, beralih ke industri lain, serta kos kelayakan yang mahal.

“Rayuan meminta bantuan kepada kerajaan Barisan Nasional tidak membawa kepada apa-apa tindakan,” katanya.

Ubah sistem

Nabil Feisal Bamadhaj, pengasas perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride, menyeru akses lebih baik kepada pengangkutan awam, seperti membina stesen di kawasan-kawasan permintaan tinggi, atau mewujudkan ruang sosial di pusat-pusat membeli-belah dan kawasan kedai-kedai runcit kejiranan bagi meningkatkan penggunaannya di kawasan trafik rendah.

“Pengangkutan awam harus termasuk bentuk pengangkutan lain yang ada seperti teksi kereta, van dan teksi,” kata Nabil kepada FMT.

Nabil Feisal Bamadhaj, pengasas Dego Ride.

Kerajaan patut lihat kepada mengurangkan ketidakcekapan dengan menggunapakai teknologi baru, sambil mencipta pekerjaan untuk belia dan golongan berpendapatan rendah.

“Memberikan rakyat akses lebih baik kepada pengangkutan awam dan peluang berkaitan logistik akan secara langsung menambahbaik kehidupan dan menyediakan kecekapan yang menjajarkan kita dengan negara-negara maju dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.