Buat pertama kalinya dalam Malaysia pertandingan memasak dilakukan secara dalam talian.

Dan itulah antara inisiatif terbaru yang diperkenalkan Jati sebuah produk yang bukan sahaja tertumpu kepada beras malah turut mempunyai bihun, laksa dan tepung pulut serta tepung beras.
Pertandingan Memasak Dalam Talian Keluarga Kreatif Jati 2 yang bermula 1 Oktober 2019 ini dijangka mendapat beratus penyertaan daripada seluruh masyarakat yang akan bersaing bagi mendapat gelaran “Juru masak dalam talian terbaik di Malaysia”.
Menurut Pengarah Serba Wangi Food, Chua Keng Jin acara keluarga kreatif Jati yang pertama telah diperkenalkan pada tahun 2003 hingga 2004 sebagai acara memasak bergerak.

Dan kini selepas 15 tahun acara ini diperkenalkan kembali tetapi sebagai pertandingan memasak dalam talian yang pertama di Malaysia.
“Dengan cogan kata ‘keluarga yang memasak bersama-sama tetap bersama’ Jati mencabar semua keluarga di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” katanya kepada FMT.
Katanya selain menampilkan kreativiti masing-masing dalam penyampaian dan persembahan ketika memasak, peserta juga boleh berkongsi resepi kegemaran mereka.
“Kita sentiasa melihat Chef Wan atau Chef Ismail berceloteh semasa memasak sehingga menghiburkan penontonnya. Sehubungan itu saya rasa ramai masyarakat di luar sana mempunyai bakat terpendam yang boleh ditonjolkan kepada umum mengenai kepakaran mereka berinteraksi sambil memasak.
“Saya tahu banyak posting di media sosial menunjukkan mereka pandai masak dan inilah masanya untuk mereka tampil ke hadapan dengan menyertai pertandingan ini. Siapa tahu untung nasib mereka boleh memenangi RM5,000,” katanya lagi.

Borang pertandingan ini boleh dimuat turun dan perlu diisi dari laman Facebook rasmi Jati dan menyerah kembali dengan satu klip video berdurasi tidak lebih 15 minit.
Tarikh tutup penyertaan ialah 31 Oktober 2019 dan semua video yang terpilih akan dimuat naik di laman sosial bermula 15 November selama sebulan untuk diundi oleh netizen.
Dan pemenang pertandingan ini yang akan diumumkan pada 31 Disember 2019 bakal memenangi wang tunai RM5,000 berserta bekalan beras Jati selama setahun bagi hadiah utama.
Manakala tempat pertama akan memenangi RM2,000 berserta bekalan beras Jati 10kg selama setahun, tempat kedua RM1,000 juga bekalan beras Jati 10kg selama setahun, ketiga RM1,000 dan 10 hadiah saguhati akan mendapat bekalan beras Jati 10kg selama setahun.
Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan ini bolehlah diemelkan kepada [email protected] atau menghubungi terus Andrew Chan di 012-4832426.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]