
Menterinya Zuraida Kamaruddin berharap keputusan hari ini akan diterima oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk keluarga Adib.
“Jadi selama 41 hari inkues telah dijalankan, hari ini kita dapat keputusan.
“Semoga keluarga Adib berasa terbela kerana kes ini disiasat dengan sebaik mungkin untuk dapat keputusan yang sebaik mungkin. Alhamdulillah. Terima kasih,” katanya pada sidang media di luar kompleks mahkamah di sini.
Koroner memutuskan Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 Nov lalu.
Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi.
Dalam pada itu, Zuraida berkata pihaknya amat setuju dengan keputusan inkues kerana telah berusaha sedaya upaya.
Beliau berkata di pihak KPKT dan juga bomba seluruh Malaysia ucapkan syukur kerana kes Adib hari ini telah dibuat keputusan.
“Kami juga puas hati kerana telah mengguna segala saluran yang boleh kita gunakan termasuk meminta agar inkues diadakan,” katanya.
Beliau juga berkata akan berjumpa dengan ibu bapa Adib pada jam 9 malam ini di ibu negara.
Zuraida bagaimanapun tidak memberitahu lokasi tepat pertemuan itu.
“Sekarang ayah Adib di Kedah. Namun keluarga Adib bersyukur dengan keputusan ini,” katanya.