
Sudah sampai masanya Asean yang terdiri daripada 10 buah negara ini memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah mahkamah jenayah khas peringkat serantau khusus bagi menyiasat segala kegiatan atau aktiviti jenayah serius kemanusiaan yang berlaku khusus di kalangan negara anggota.
Pada awal bulan Mac lalu pihak Wisma Putra telah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) namun tidak beberapa lama kemudian Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil keputusan mengejut untuk menarik diri dari menjadi anggota kepada Statut Rom serta ICC.
Berdasarkan perkembangan terbaru ini, pihak kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh memberi pertimbangan untuk duduk berbincang dengan serta mengusulkan kepada negara-negara rantau Asia Tenggara bagi mewujudkan satu bentuk agensi, tribunal ataupun mahkamah pengadilan yang lebih sesuai serta yang dapat diterima di kalangan negara-negara dirantau Asia Tenggara.
Penubuhan mahkamah jenayah peringkat Asia Tenggara ini dilihat penting bagi memastikan tiada negara serantau melakukan sebarang tindakan kekejaman dan penindasan terhadap mana-mana pihak di dalam negara mereka sendiri serta terhadap negara-negara serantau.
Pada masa yang sama juga, penubuhan sebuah mahkamah berkenaan di peringkat serantau dapat memberi isyarat yang jelas kepada semua negara di Asia Tenggara untuk tidak melakukan sebarang jenayah serius kemanusiaan. Penubuhan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau ini juga sekurang-kurangnya dapat mewujudkan satu bentuk saluran baru undang-undang yang dapat digunakan oleh mana-mana pihak yang dianiaya akibat daripada sebarang jenis jenayah serius kemanusiaan yang menimpa terhadap diri mereka.
Perkara ini dilihat penting berikutan krisis kemanusiaan teruk dan berterusan yang menimpaetnik Rohingya di Myanmar buat sekian lama.
Seperti yang diketahui, etnik Rohingya di Myanmar menjadi mangsa keganasan dan penindasan daripada kerajaan mereka sendiri serta dari kumpulan-kumpulan pelampau dan fanatik yang berada di negara mereka. Mengikut rekod beberapa pertubuhan hak asasi manusia peringkat antarabangsa, nasib malang yang menimpa etnik Rohingya sudah berlaku buat sekian lama semenjak junta tentera mengambil alih pentadbiran negara mereka pada 1978.
Malah, ada juga pihak yang mendakwa bahawa etnik Rohingya berkenaan telah menerima layanan buruk lebih awal lagi. Ada pihak juga yang menyatakan nasib buruk yang menimpa etnik Rohingya ini juga adalah proses penghapusan etnik.
Tindakan ketidakperikemanusiaan yang berterusan dilakukan terhadap etnik Rohingya serta etnik minoriti lain tidak boleh dibenarkan berterusan berlaku di rantau Asean kerana ia jelas bertentangan dengan segala prinsip Asean yang melindungi hak asasi penduduknya yang berjumlah 650 juta orang. Malah Piagam Asean yang telah ditandatangani Myanmar sendiri juga jelas termaktub jaminan serta penghormatan terhadap hak asasi manusia.
Jika tiada langkah tegas diambil bagi mengatasi isu ini, nescaya tidak mustahil krisis kemanusiaan yang hampir sama boleh berlaku di kalangan negara Asean lain. Ia juga boleh memberi implikasi buruk terhadap nama baik Asean di peringkat global, malah akan membantutkan segala usaha Asean untuk membantu pihak yang menerima nasib yang sama di rantau yang lain diserata dunia.
Oleh itu, Asean sebagai sebuah pertubuhan serantau perlu berani mengambil langkah-langkah lebih proaktif dan drastik yang boleh menjamin hak asasi manusia di rantau Asean serta memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ditindas di rantau ini untuk membawa aduan mereka ke muka pengadilan.
Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau. Mahkamah jenayah berkenaan boleh memainkan peranan yang sama seperti mahkamah jenayah antarabangsa (ICC) yang berada di The Hague, Belanda dengan melakukan proses pemantauan terhadap aspek pematuhan hak asasi manusia di kalangan negara Asean serta mengambil proses pendakwaan terhadap mana-mana individu atau pihak yang jelas melanggar prinsip kemanusiaan yang telah ditetapkan oleh ASean.
Bagi menjayakan cadangan di atas, pelbagai langkah perlu diambil di kalangan negara Asean seperti dengan melakukan pindaan besar terhadap piagam, penjanjian, instrumen sedia ada atau mewujudkan piagam baru bagi menjayakannya. Ia juga menuntut kerjasama serta iltizam yang tinggi di kalangan negara Asean bagi mematuhi segala peruntukan atau kuasa mahkamah khas berkenaan setelah ia ditubuhkan kelak.
Walaupun cadangan penubuhan mahkamah khas terbabit dilihat sukar serta akan mengambil tempoh masa yang panjang, cadangan penubuhan mahkamah khas berkenaan adalah penting supaya tiada pihak di kalangan negara-negara Asean berterusan melanggar peruntukan undang-undang antarabangsa serta prinsip-prinsip keamanan dan kemanusiaaan yang telah dipersetujui oleh negara Asean, terutamanya dalam aspek perlindungan dan jaminan hak asasi manusia.
Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.