Menteri jamin keputusan harga tawaran tanah Kg Baru dalam sebulan

Menteri jamin keputusan harga tawaran tanah Kg Baru dalam sebulan

Khalid Abdul Samad berkata, Dr Mahathir Mohamad tidak menghadiri mesyuasat Kabinet semalam kerana berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB.

KUALA LUMPUR: Perbincangan antara Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengenai tawaran harga lebih tinggi bagi tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru belum diadakan.

Ini kerana, kata Khalid, Mahathir kini berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).

“Mesyuarat Kabinet semalam Tun tiada kerana beliau ada di New York. Namun, saya telah beri jaminan kita akan buat keputusan berhubung permintaan penduduk dan pemilik Kampung Baru dalam tempoh sebulan daripada tarikh sesi townhall yang diadakan Sabtu lepas.

“Dalam tempoh satu bulan ni, insya Allah saya akan bertemu dengan Tun untuk mendapat pandangan beliau berhubung permintaan supaya harga tawaran dinaikkan dan selepas itu memberitahu semua pemilik harga terbaik dan yang termampu kita berikan,” katanya selepas melancarkan Skim Lesen Mikro Francais hari ini.

Sabtu lepas, Khalid dilaporkan berkata, kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Katanya, ia kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu saja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.