
Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata suspek dikenali sebagai Mohd Zafarul Nizam Hamzah, 37, berasal dari Kelantan bertindak ganas apabila cuba merempuh salah seorang pegawai polis ketika operasi dijalankan.
“Ekoran itu tembakan terpaksa dilepaskan bagi menyelamatkan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
Azam berkata operasi itu dijalankan Pasukan Khas Polis Bukit Aman yang mengekori suspek dari Kelantan yang memandu Perodua Alza bersama 8 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.
Katanya, hasil semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Gombak namun siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.
Beliau berkata polis juga menahan seorang lagi warga Myanmar yang merupakan pengantara dalam sindiket berkenaan.
“Hasil siasatan forensik Selangor menemukan beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaiki suspek telah diubahsuai dengan semua kerusi belakang dikeluarkan bagi tujuan untuk mengisi 8 warga asing untuk diseludup dipercayai dari Kelantan bagi tujuan untuk bekerja,” katanya.
Azam juga berkata suspek yang ditembak mempunyai 11 rekod jenayah iaitu tiga kes dadah, satu kes ragut, lima kes curi, satu kes curi kenderaan dan satu kes pemerasan.
Beliau berkata semua sembilan warga Myanmar ditahan dan seorang mengalami kecederaan akibat tembakan di bahu kanan dan perut.
“Warga Myanmar itu berada di zon merah Hospital Serdang dan sedang mendapat rawatan.
“Mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata suspek keempat ahli Geng Sree yang ditembak mati Isnin lalu di Cyberjaya telah dikenal pasti.
Beliau berkata suspek adalah Selvam Muniandi, 27, yang berasal dari Cheras dan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Isnin lalu, empat ahli Geng Sree yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah di Selangor dan Negeri Sembilan, mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Kondominium Residen Skypark, Cyberjaya.
Semua suspek lelaki tempatan berusia 29 hingga 45 tahun itu yang disyaki terbabit dalam 21 kes samun dan pecah rumah.