Penggodam ugut henti laman web, musnah data Jabatan Air Sabah

Penggodam ugut henti laman web, musnah data Jabatan Air Sabah

Ini kerana Kumpulan Penggodam Senyap tidak berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan Jabatan Air Sabah.

Amarjit Singh menunjukkan cetakan satu akaun Facebook palsu yang diwujudkan ‘Ahmad Tar’.
KOTA KINABALU:
Sebuah kumpulan yang menggelar diri Kumpulan Penggodam Senyap mengugut akan menghentikan laman web Jabatan Air Sabah dan memusnahkan semua data, kecuali ia meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

Kumpulan itu menerusi e-mel kepada bahagian hal ehwal korporat jabatan berkenaan pada Sabtu lalu, berkata ini ialah “amaran pertama dan terakhir” untuk jabatan itu berubah.

Pengarah Jabatan Air Sabah, Amarjit Singh berkata kumpulan itu tidak berpuas hati dengan gangguan air yang sering berlaku di Sabah, khasnya di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

“Atas nasihat setiausaha negeri, kami lapor polis semalam.

“Polis kata ini ialah hasutan,” katanya sambil menambah ini kali pertama jabatan itu menerima ugutan sedemikian.

Bercakap kepada wartawan di pejabatnya di sini hari ini, Amarjit berkata, jabatannya menganggap ia adalah serangan peribadi.

“Saya tidak tahu sama ada ia ditujukan kepada saya atau pegawai saya, tetapi saya fikir ia untuk seluruh jabatan ini kerana kami ialah sebuah keluarga di sini.”

Salinan e-mel yang dihantar Kumpulan Penggodam Senyap.

E-mel sama turut dihantar kepada pejabat jabatan itu di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Amarjit turut menyentuh satu akaun Facebook Jabatan Air Sabah palsu yang diwujudkan seorang individu dikenali sebagai “Ahmad Tar”.

Pemegang akaun itu memuat naik satu gambar logo jabatan itu yang ditindih lukisan alat sulit lelaki dan wanita bersama komen lucah.

“Ini sangat kebudak-budakan,” katanya sambil menambah jabatan itu sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perkhidmatan Komputer Sabah.

“Kami mahu mereka mengesan pihak terbabit.”

Beliau mengakui jabatan itu berdepan cabaran untuk menaik taraf tahap perkhidmatannya, tetapi katanya, mereka sedang melakukan yang terbaik.

“Kami dalam proses mengubah banyak perkara, jadi ini tidak boleh diterima oleh orang Sabah.”

Beliau menggesa mereka yang tidak berpuas hati supaya mengemukakan aduan kepada saluran bersesuaian dan talian jabatan itu beroperasi 24 jam sehari.

“Saya berharap dapat melakukan perubahan sebelum berundur pada 2021 dan saya tahu ia tugas besar, tetapi perubahan tidak boleh dilaksanakan dalam sehari.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.