Kerja 42 jam petugas kesihatan kekal, Cuepacs kata kerajaan utama ihsan

Kerja 42 jam petugas kesihatan kekal, Cuepacs kata kerajaan utama ihsan

Presiden Adnan Mat berkata keputusan itu bantu menjaga tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas barisan hadapan.

jururawat nurse
Cuepacs berkata, pengecualian lima skim perkhidmatan kritikal daripada pelaksanaan waktu kerja syif 45 jam seminggu adalah tindakan penuh hikmah. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA:
Pengekalan waktu bekerja 42 jam seminggu petugas kesihatan bekerja syif jelas kerajaan mengutamakan nilai ihsan, kata Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Adnan Mat, berkata pihaknya menghargai ihsan kerajaan membantu menjaga tahap kesihatan fizikal, mental, dan emosi petugas kesihatan.

“Langkah ini jelas menunjukkan kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan disuarakan kesatuan sekerja dan petugas kesihatan yang saban hari bergelut di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan.

“Keputusan untuk mengecualikan lima skim perkhidmatan kritikal daripada pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu adalah tindakan penuh hikmah,” katanya dalam kenyataan.

Adnan turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam.

Semalam, dilaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) umum kerajaan bersetuju beri pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu bagi petugas kesihatan dalam lima skim perkhidmatan kritikal.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan disuarakan petugas kesihatan mengenai beban kerja dan keperluan operasi semasa.

Menurut JPA, pengecualian melibatkan seramai 82,637 petugas kesihatan yang terdiri daripada jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan, dan pembantu perawatan kesihatan.

Pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan petugas barisan hadapan, khususnya mereka yang terlibat dengan syif panjang dan tugasan kritikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.