
Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata, mereka meminta salinan laporan bedah siasat Thomas Orhions Ewansiha pada 2 Ogos lalu, selepas menemui seorang ahli patologi dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mereka berkata, ahli patologi itu memaklumkan sampel tisu perlu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis sebelum laporan berkenaan boleh dimuktamadkan.
“Sudah lebih sebulan sejak pertemuan kami dengan ahli patologi itu dan lebih dua bulan sejak kematian Thomas.
“Walaupun banyak peringatan, panggilan dan permintaan untuk kemas kini daripada ahli patologi, kami masih tidak dapat laporan itu,” katanya kepada FMT.
Mereka turut mempertikaikan kenyataan media Jabatan Imigresen pada 14 Julai lalu yang menyatakan tiada unsur kekerasan fizikal dalam kematian Thomas, walaupun ahli patologi tidak mampu memberi laporan bedah siasat yang muktamad.
Mereka berkata, tindakan itu ialah pelanggaran melampau hak Thomas dan juga keluarganya.
“Kami meminta pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab bertindak segera untuk mempercepatkan pendedahan laporan bedah siasat itu.”
Dalam sepucuk surat kepada pusat perubatan terbabit yang dilihat FMT, Rajesh dan Sachpreetraj berkata, kelewatan mengeluarkan laporan bedah siasat itu menghalang mereka untuk meminta kerajaan mengadakan inkues ke atas kematian Thomas.
Balu Thomas, Blessing Uhunoma Eriamiator memohon inkues bagi mencari punca kematian suaminya yang didakwa dipukul dan tidak diberikan rawatan ketika dalam tahanan.
Thomas, 34, yang merupakan pelajar Ijazah Kedoktoran Pengurusan di Universiti Limkokwing, ditahan bersama 19 warga asing lain dalam Ops Bersepadu di Pangsapuri Desa Aman Puri, Kepong, pada 4 Julai lalu, susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.
Pada 12 Julai lalu, Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, Thomas diserang sawan ketika sedang tidur sebelum meninggal dunia ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.
Katanya, Jabatan Imigresen melayan tahanan dengan berhemah dan mengikut prosedur operasi standard.
Menurutnya, Thomas direman di depot itu selama dua minggu untuk membantu proses pengesahan dokumennya dan butiran rekod institusi pengajiannya.
Bagaimanapun, Eriamiator mendakwa Thomas ditahan tanpa alasan sah, sedangkan suaminya tinggal di Malaysia secara sah dan melanjutkan pelajarannya di sini selama sedekad.