
Presidennya Azih Muda berkata elaun itu akan membantu kakitangan awam yang tinggi di bandar-bandar yang merekodkan kos sara hidup terlalu tinggi seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kata beliau, pengenalan elaun itu selaras dengan tuntutan pihaknya supaya kerajaan menyemak kembali elaun Bantuan Kos Sara Hidup (Cola) bagi penjawat awam bagi membantu golongan itu mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut beliau, elaun Cola juga perlu diselaraskan kerana ketika ini kadar yang diberi adalah berbeza mengikut lokasi.
“Bagaimanapun, jika elaun Cola ini diselaraskan, penjawat awam yang berada di bandar raya besar tidak akan menikmatinya kerana ketika ini kadar Cola tertinggi adalah di bandar raya besar.
“Jadi, Cuepacs berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya untuk terus membantu penjawat awam,” kata beliau dipetik Bernama, hari ini.
Mengambil contoh persekitaran di Johor Bahru, Azih berkata kesan daripada pertumbuhan di Singapura turut memberi impak kepada kehidupan penduduk di sekitar bandar raya tersebut.
Contohnya jelas beliau, harga pasar tani di sana antara yang paling mahal di seluruh negara.
“Rakyat Singapura belanja guna duit dia, mungkin tak rasa mahal. Jadi kami berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya untuk penjawat awam di bandar raya tertentu,” kata beliau lagi.