Langit Indonesia bertukar merah akibat jerebu

Langit Indonesia bertukar merah akibat jerebu

Seorang penduduk wilayah Jambi yang merakam gambar langit tersebut berkata jerebu itu menyakitkan mata dan tekak.

Fenomena langit merah di wilayah Jambi, Indonesia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Langit di satu wilayah di Indonesia bertukar menjadi merah pada hujung minggu lalu akibat kebakaran hutan yang meluas yang melanda sebahagian besar negara itu.

BBC melaporkan seorang penduduk wilayah Jambi yang merakam gambar langit tersebut berkata jerebu itu menyakitkan mata dan tekak.

Eka Wulandari dari kampung Mekar Sari di wilayah Jambi, merakam langit berkenaan pada tengah hari, Sabtu.

Dia kemudian memuat naik gambar tersebut di Facebook dan dikongsi lebih 34,000 kali.

Bagaimanapun, katanya, ramai pengguna media sosial meragui sama ada foto itu benar atau palsu.

“Tetapi ia benar. (Ia) foto dan video sebenar yang saya ambil dengan telefon saya,” katanya, sambil menambah keadaan jerebu kekal teruk sehingga Ahad.

Seorang lagi pengguna Twitter memuat naik video yang menunjukkan langit dengan warna yang sama.

“Ini siang bukan malam. Ini bumi bukan Marikh. Ini Jambi bukan angkasa lepas. Kami bernafas dengan paru-paru, bukannya dengan insang. Kami ini manusia yang perlukan udara yang bersih, bukan penuh asap,” kata Zuni Shofi Yatun Nisa.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesi (BMKG) Jambi dalam satu kenyataan berkata fenomena langit menjadi merah di Jambi disebabkan asap tebal yang menyelimuti wilayah itu.

Keadaan itu menyebabkan sinaran matahari tidak sampai ke bumi dan cuaca akan kembali seperti biasa sekiranya ada angin kencang.

Sementara itu, Profesor Koh Tieh Yong dari Universiti Sains Sosial Singapura, menjelaskan fenomena tersebut yang juga dikenali sebagai “Rayleigh Scattering” disebabkan kehadiran beberapa jenis zarah semasa jerebu.

“Dalam asap jerebu, amat banyak zarah bersaiz kira-kira 1 mikrometer, tetapi zarah ini tidak mengubah warna cahaya yang kita nampak.

“Terdapat juga zarah yang lebih kecil, kira-kira 0.05 mikrometer atau kurang, yang tidak membentuk jerebu tetapi masih agak banyak dalam tempoh jerebu (berbanding ketika bukan musim jerebu)… tetapi ini cukup memberi kecenderungan tambahan untuk menyebarkan lebih cahaya merah ke depan dan ke belakang berbanding cahaya biru, dan sebab itulah anda melihat langit lebih merah berbanding biru,” Koh dipetik sebagai berkata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.